IPOH 14 Ogos - Kellie’s Castle terus mendapat pengiktirafan apabila menerima anugerah Tarikan Pelancongan Warisan Terbaik oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).
Ia diterima pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan di Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut sekali gus mengiktiraf Kellie's Castle sebagai lokasi pelancongan warisan pilihan di negeri Perak.
Selain rekabentuk yang menarik, tidak dinafikan tarikan utama pengunjung ke Kellie's Castle adalah kerana kisah-kisah seram yang dikaitkan dengannya.
Pengurus Besar Kellie's Castle, Zamari Muhyi berkata, anugerah tersebut menjadi suntikan pihaknya untuk terus memelihara khazanah berharga yang berusia 109 tahun itu.
Menurut beliau, misteri dan kisah seram sentiasa memikat perhatian pengujung lantas menjadikan Kellie's Castle salah satu destinasi utama pelancongan seram di rantau ini.
“Keunikan itulah yang telah mengangkat Kellie's Castle sebagai pemenang anugerah tersebut.
“Sebelum ini inisiatif pelancongan seram di Kellie's Castle mendapat respons positif daripada 400 ahli Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) semasa sesi pembentangan maya pada tahun 2020.
“Reaksi ahli PATA sangat memberangsangkan kerana Kellie's Castle bukan sahaja mudah dilawat tetapi juga menawarkan pengalaman pelancongan seram yang selamat.
“Tourism Malaysia pula telah meletakkan Kellie's Castle sebagai salah satu destinasi utama pelancongan seram di Malaysia selepas Pulau Pinang (Muzium Perang Pulau Pinang),” katanya.
Kellie’s Castle mula dibina pada tahun 1910 oleh seorang peladang getah terkemuka warga Scotland iaitu William Kellie Smith.
Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk istana Moghul di India bagaimana pun tidak siap apabila dihentikan pada tahun 1926.
Kehebatan kisah cinta antara Smith dan isterinya, Agnes juga menambahkan lagi kekuatan daya tarikan tersendiri kepada pengunjung ke sini.
Jelas Zamari, walaupun mempunyai tarikan tersendiri tetapi pihaknya turut berdepan cabaran untuk menarik lebih ramai pengunjung khususnya generasi muda.
Sehubungan itu apa yang dilakukan ialah menggabungkan unsur-unsur lain yang boleh memikat seperti landskap, keunikan penceritaan dan persembahan secara kreatif. - DagangNews.com