KUALA LUMPUR 25 Jan - Kemelesetan ekonomi global tidak akan berlaku meskipun ketika ini berlaku kemelesetan yang sederhana di Eropah dan Amerika Utara.
Pengarah Eksekutif untuk Penyelidikan Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Sara Johnson berkata, dengan perkembangan di China dan pertumbuhan ekonomi di pasaran baharu Asia Pasifik, Asia Timur dan Afrika, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia dijangka meningkat 1.9% pada 2023.
Katanya, dasar monetari yang ketat akan membantu mengurangkan inflasi, menjadikan kadar faedah lebih rendah dan pertumbuhan global meningkat kepada 3.0% pada 2024 dan 2025.
Beliau berkata, dengan penurunan seterusnya meliputi harga barangan dan inflasi global akan berkurangan kepada 4.5% tahun ke tahun pada Jun 2023 dan 3.6% pada Disember 2023.
"Pelbagai pendorong inflasi telah berbalik termasuk gangguan bekalan semasa pandemik COVID-19, rangsangan fiskal dan monetari yang luar biasa serta perubahan dalam komposisi perbelanjaan pengguna.
"Penurunan harga komoditi pertanian sedang berjalan secara beransur-ansur tetapi akan mengekalkan momentum pada separuh kedua 2023, memberikan kelegaan kepada pengguna," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ekonomi Amerika Syarikat (AS) memasuki kemelesetan sederhana
Johnson berkata, KDNK sebenar di AS berkemungkinan meningkat pada kadar tahunan 2.3% pada suku keempat 2022 dengan sokongan daripada pengumpulan inventori dan keuntungan dalam perbelanjaan pengguna dan pelaburan peralatan perniagaan.
Bagaimanapun, penurunan dalam jualan runcit dan pengeluaran perindustrian pada November dan Disember 2022 menunjukkan ekonomi berada pada trajektori menurun menuju 2023.
"Kami terus meramalkan kemelesetan dalam dua suku pertama 2023, kesan pengambilan inventori dan penurunan dalam sektor pelaburan hartanah, pembinaan komersial, dan perbelanjaan pengguna ke atas barangan.
"Beberapa faktor akan mengehadkan kemelesetan termasuk kewangan isi rumah berada dalam keadaan baik, pengeluaran automotif akan meningkat apabila bekalan mikropemproses pulih, dan susut nilai dolar akan menyokong eksport bersih," katanya. - DagangNews.com