Kemelesetan kitaran pasaran semikonduktor, hasil Globaltec Formation susut kepada RM47.8 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Kemelesetan kitaran pasaran semikonduktor, hasil Globaltec Formation susut kepada RM47.8 juta pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Hasil Globaltec Formation Berhad bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) susut RM8.5 juta kepada RM47.8 juta berbanding RM56.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan sumbangan lebih rendah dalam segmen perkhidmatan pembuatan bersepadu (IMS) kesan kemelesetan kitaran pasaran semikonduktor. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bahagian perladangannya juga merosot kesan daripada penurunan hasil dan purata harga jualan buah tandan segar. 

 

Katanya, untung bersih kumpulan itu juga menyusut sebanyak RM700,000 kepada RM2.4 juta berbanding RM3 juta pada suku sama bagi tahun sebelumnya tetapi kerugian itu diimbangi peningkatan keuntungan sebanyak RM500,000 daripada syarikat bersekutu dalam segmen makanan dan minuman. 

 

"Untung bersih kumpulan itu bagi suku semasa bagaimanapun meningkat hampir dua kali ganda berbanding suku sebelumnya sebanyak RM1.3 juta disebabkan margin keuntungan yang lebih baik dan hasil yang lebih baik daripada syarikat bersekutu sebanyak RM700,000," katanya.

 

Globaltec berkata, pihaknya sebelum ini sudah memeterai perjanjian utama dengan PT Laras Ngarso Gede yang menggariskan komitmen pembekalan dan penjualan metana dasar arang batu (CBM) yang dihasilkan daripada Tanjung Enim POD 1 dan telah memperoleh permit alam sekitar untuk kontrak perkongsian pengeluaran Tanjung Enim.

 

Segmen tenaga kumpulan itu kini sedang menunggu kelulusan harga gas dan peruntukan volum gas daripada pihak berkuasa Indonesia, sebelum memulakan kempen penggerudian dan penjualan gasnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, pihaknya akan terus berhati-hati dengan kos serta kemampanan syarikat terutama dalam mendepani cabaran ekonomi serta konflik geopolitik yang berlaku.

 

Katanya, walaupun kekal bertahan, pihaknya juga sedang menilai peluang pengembangan dan juga peluang untuk melepaskan perniagaan bukan teras.

 

"Kami akan memanfaatkan peningkatan operasi pembuatan di Indonesia dengan kilang ketiganya dijangka siap pada akhir suku pertama 2024.

 

"Kumpulan ini juga sedang dalam proses untuk mengkomersialkan CBM pertama di Indonesia dan akan melaksanakan pelan pembangunan pertama dengan berhati-hati," katanya. - DagangNews.com