Kementerian Pendidikan kenal pasti sekolah dijadikan PPV untuk vaksinasi pelajar | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pendidikan kenal pasti sekolah dijadikan PPV untuk vaksinasi pelajar

Mohd Radzi Md Jidin dan Khairy Jamaluddin pada majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) oleh kedua-dua kementerian, di SMK Putrajaya Presint 8(1) hari ini.

 


PUTRAJAYA 20 Sept - Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membantu pendaftaran murid sekolah untuk tujuan vaksinasi COVID-19.

 

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya juga akan mengenal pasti sekolah untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kepada murid-murid sekolah.

 

Beliau berkata, KPM turut membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan ini.

 

“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah,” katanya pada majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) oleh kedua-dua kementerian, di SMK Putrajaya Presint 8(1) hari ini.

 

Seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari sekolah tersebut menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi program PICK Remaja.

 

Katanya, secara keseluruhan, terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.

 

“Alhamdulillah, proses vaksinasi pagi ini berlangsung dengan teratur dan tersusun.

 

“Sejurus tiba, murid yang ditemani ibu bapa/penjaga perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin,” katanya.

 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum itu berkata, pihaknya menyasarkan 60% remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini.

 

Menurut beliau, 80 peratus golongan berkenaan disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

 

Pengecualian hanya akan diberikan kepada remaja yang disahkan oleh doktor mempunyai sebab-sebab tertentu, seperti masalah kesihatan atau alahan terhadap vaksin.

 

Sebanyak lima negeri/wilayah akan melakukan PICK Remaja secara serentak selain Putrajaya, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pahang.

 

Tiga negeri/wilayah yang telah memulakan program berkenaan sebelum ini ialah Sarawak pada 8 Sept, Labuan (11 Sept) dan Sabah (16 Sept). - DagangNews.com