KUALA LUMPUR 14 Julai - Kempen pelancongan domestik 'Ke Sana Ke Sini Ke Sunway' mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan dengan jualan lebih daripada 10,000 penginapan.
Lebih menarik, 5,000 penginapan daripada jumlah tersebut terjual hanya dalam masa 72 jam selepas pelancangan kempen berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif pusat beli-belah Sunway dan Taman Tema, HC Chan berkata, pihaknya meramalkan kadar pertumbuhan pelancongan domestik sihat selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Sejak pelancaran kempen ini, Hotel Sunway Pyramid telah mencatatkan 80% jumlah penghuni tempatan. Situasi ini juga disokong oleh keyakinan para pelancong terhadap tahap protokol kesihatan dan keselamatan Sunway Group.
"Kami telah laburkan RM30 juta dalam latihan kesihatan, keselamatan, kelengkapan dan SOP lain. Sebagai tambahan, Sunway City Kuala Lumpur telah menjalankan pembangunan bersama pusat beli-belah, taman tema, hotel dan perniagaan lain bagi menawarkan perkhidmatan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bermula 6 Julai lalu, Sunway melancarkan kempen 'Ke Sana Ke Sini Ke Sunway' sebagai pakej menarik untuk percutian dan pelancongan domestik.
Orang ramai boleh menikmati percutian tersebut dengan harga yang berpatutan bersama keluarga dan rakan-rakan di Amazing Sunway City Kuala Lumpur yang turut ditawarkan bersama pakej esklusif dengan diskaun hingga 70%.
Pakej harga dari RM499 berbanding harga biasa RM1,599 untuk penginapan dua malam di Sunway Pyramid Hotel untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, tiket masuk ke Sunway Lagoon untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, dan hadiah serta baucer Family Fun Activity bernilai RM200.
Jelas Chan lagi, pelancongan domestik memiliki pasaran yang cukup besar dengan jumlah perbelanjaan yang meningkat 11.5% kepada RM103.2 bilion pada 2019 sekali gus menjadi tahun keempat Sunway mencatatkan peningkan dua digit sebelum penularan wabak COVID-19.
"Perkara ini juga sejajar dengan pengumuman Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyatakan peningkatan positif dalam sektor pelancongan menerusi jumlah peningkatan tempahan hotel hingga 30.74% pada Jun. - DagangNews.com