Kenaikan harga komoditi dijangka terus pengaruhi tekanan kos bahan mentah - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kenaikan harga komoditi dijangka terus pengaruhi tekanan kos bahan mentah - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - MIDF Research menjangkakan kenaikan harga komoditi terus mempengaruhi tekanan kos dalam sektor utama dan bahan mentah.

 

Katanya, kelemahan ringgit dan inflasi dalam harga makanan global juga akan membawa kepada inflasi import yang lebih tinggi dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Memandangkan inflasi indeks harga pengeluar malaysia (IHPR) kekal di bawah inflasi indeks harga pengguna (CPI), kami meramalkan tekanan ke atas pengeluar tempatan bagi menaikkan harga jualan adalah terhad.

 

"Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3% buat masa ini dengan penekanan yang lebih besar ke arah mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Indeks Harga Pengeluar catat peningkatan 0.2% pada September 2023 selepas susut tujuh bulan - DOSM

 

Terdahulu, peningkatan marginal dalam IHPR itu disumbangkan semua sektor kecuali sektor pembuatan.

 

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.2% daripada susut 1% pada Ogos 2023 manakala perlombongan menokok 6.9% daripada -3.8% pada bulan sebelumnya.

 

Kedua-dua sektor utiliti mencatatkan peningkatan, dengan sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.5% pada September 2023 daripada -0.1% dalam bulan sebelumnya manakala bekalan air meningkat sebanyak 0.9% daripada 2.5% pada Ogos 2023.

 

Bagi suku ketiga 2023, IHPR pengeluaran tempatan kekal dalam negatif 1.4% disumbangkan sektor perlombongan (- 2.8%) dan pembuatan (-1.7%).

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, IHPR Malaysia turun sebanyak 2.1% berbanding tahun lepas yang disebabkan oleh ketidaktentuan komoditi utama Malaysia, khususnya produk minyak sawit dan minyak mentah. - DagangNews.com