KUALA LUMPUR 26 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik bagi 627,491 akaun domestik dan bukan domestik dengan nilai keseluruhan bil tertunggak lebih RM1 bilion.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah tunggakan yang direkodkan sehingga September tahun ini meningkat kepada RM1,008,771,447.78 berbanding RM945,435,794.07 pada 2023 membabitkan 464,076 akaun yang dipotong bekalan elektrik.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil berdasarkan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan Bekalan oleh Pemegang Lesen 1990 selepas peringatan dan perbincangan dibuat dengan pengguna.
"Antara sebab bayaran tertunggak oleh pengguna adalah kekangan kewangan, kecuaian dan kelalaian dengan kebanyakan nama pengguna yang berdaftar bukan pemilik premis.
"Selain itu, terdapat segelintir pengguna menjadikan bil elektrik sebagai hutang terakhir perlu dibayar selepas menyelesaikan semua komitmen lain," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini seperti laporan The Sun.
Akmal menjawab soalan oleh Khoo Poay Tiong (PN-Kota Melaka) yang bertanya mengenai kes TNB memotong bekalan elektrik selepas pengguna gagal membayar bil elektrik mereka berserta jumlah tunggakan yang direkodkan mengikut negeri dan kategori pengguna.
Beliau menambah, berdasarkan statistik, lima negeri dengan bilangan akaun tertinggi dan pembayaran tertunggak untuk 2024 sehingga September adalah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu.
Jelasnya, dalam sesetengah kes, bekalan elektrik hanya akan dipotong selepas beberapa bulan bil tertunggak kerana TNB mempunyai budi bicara memandangkan jumlah tunggakan mungkin sedikit.
"Namun, TNB terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap pengguna bukan domestik, kerana jumlah tunggakan mungkin besar, terutamanya dalam transaksi perniagaan.
"Apabila berlaku isu tunggakan pembayaran, TNB berusaha untuk mengelakkan pemotongan bekalan kerana tenaga dianggap sebagai sumber asas," katanya.
Akmal berkata, pelanggan dinasihat untuk berurusan dengan Kedai Tenaga oleh TNB bagi berunding agar bekalan elektrik dapat disambung semula. - DagangNews.com