KUALA LUMPUR 5 April - Kenaikan harga minyak mentah dijangka memberi manfaat kepada syarikat yang terlibat dalam industri huluan yang terlibat dalam aktiviti penggerudian serta kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO).
CGS-CIMB Research berkata, harga minyak mentah yang tinggi boleh memanjangkan pasaran kenaikan dalam perbelanjaan modal selain memenuhi permintaan untuk perkhidmatan.
Firma itu berkata, impak terhadap Dialog Group Berhad adalah neutral, potensi pengurangan stok dalam inventori minyak global boleh menyebabkan terminal tangki milik mereka mencatatkan penurunan secara beransur-ansur tetapi medan minyaknya akan mendapat manfaat daripada harga jualan yang lebih tinggi.
"Kadar tambang penghantaran mungkin mengalami sedikit penyederhanaan mulai Mei 2023, terutamanya untuk segmen kapal minyak mentah besar (VLCC) ] yang mengangkut kebanyakan pengeluaran Asia Barat.
"Kami berpendapat bahawa kadar kapal tangki berkemungkinan kekal kukuh secara keseluruhan memandangkan jarak penghantaran minyak mentah yang lebih jauh sejak larangan Kesatuan Eropah (EU) terhadap import minyak mentah laut Rusia mulai 5 Disember 2022.
"Bagaimanapun pemain petrokimia berasaskan nafta seperti LC Titan akan mengalami kerugian, jika harga bahan mentah nafta meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, loji Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) Kertih yang menggunakan bahan mentah gas etana pada harga tetap mungkin mendapat manfaat tidak langsung jika loji bahan mentah naphtha memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran mereka dan harga jualan petrokimia meningkat.
Bagaimanapun, sebaik sahaja loji Pengerang berasaskan nafta ditauliahkan pada separuh kedua 2023, kenaikan kos bahan suapan tambahan di Pengerang mungkin mengimbangi sebarang faedah yang dinikmati oleh loji Kertih.
Firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor itu.
Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Yinson (TP: RM3.68) dan Dialog (TP: RM2.74).
"Kami menjangkakan pendapatan Yinson akan meningkat dua kali ganda tahun ini disokong projek sedia ada dan baharunya, manakala Dialog berkemungkinan akan menyingkirkan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang merugikan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Kami juga percaya Dialog akhirnya akan memperoleh kadar tenaga kerja yang lebih tinggi untuk kontrak penyelenggaraan lojinya," katanya. - DagangNews.com