Kenaikan purata harga jualan kurang daripada kos, CGS-CIMB unjur pengeluar sarung tangan terus catat kerugian | DagangNews Skip to main content

Kenaikan purata harga jualan kurang daripada kos, CGS-CIMB unjur pengeluar sarung tangan terus catat kerugian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - CGS-CIMB Research mengunjurkan pengeluar sarung tangan getah terus mencatatkan kerugian sehingga suku pertama 2024.

 

Firma itu berkata, kenaikan purata harga jualan (ASP) untuk sarung tangan getah tidak mencukupi untuk menyerap kenaikan kos semasa.

 

"Pada pandangan kami, pengeluar sarung tangan hanya akan meraih keputusan positif sekiranya kadar penggunaan bertambah baik antara 55% hingga 60% disokong peningkatan tempahan daripada pembeli selain ASP menjadi antara AS$24 hingga AS$25 untuk setiap 1,000 keping.

 

"Selain itu, keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya kos semasa tidak bertambah.

 

"Sebagai tambahan, kami percaya pengeluar sarung tangan hanya akan kembali ke tahap sebelum pandemik pada 2025 paling awal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma menganggarkan bahawa kadar penggunaan sektor sarung tangan Malaysia kekal rendah antara 35% hingga 40%.

 

Katanya, ia disebabkan lebihan bekalan dalam sektor itu dengan pembeli lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk penyimpanan semula inventori.

 

"Memandangkan kenaikan ASP, kami berpandangan bahawa ini akan menggalakkan lagi pembeli sarung tangan untuk menahan pembelian dalam tempoh terdekat memandangkan jumlah sarung tangan yang banyak di pasaran.

 

"Kami menjangkakan ia akan mengurangkan kadar penggunaan sektor sarung tangan Malaysia, yang berkemungkinan kekal pada paras semasa (jika tidak lebih rendah) sehingga suku keempat 2023(pembelian yang lebih agresif oleh pelanggan selepas kehabisan inventori)," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underweight' untuk sektor itu dan berkata kenaikan harga saham baru-baru ini memberi peluang yang baik kepada pelabur untuk mengambil keuntungan kerana asas sektor kekal lemah pada ketika ini dan profil risiko-ganjaran sektor itu kekal tidak menggalakkan.

 

"Kami percaya pelabur terlalu optimistik dari segi pemulihan pendapatan dalam 12 bulan akan datang kerana ASP tidak mungkin pulih ke titik pulang modal operasi," katanya. - DagangNews.com