Kenaikan purata tarif air bukan domestik lebih tinggi, Maybank IB semak naik unjuran untung bersih Ranhill Utilities sehingga 30% | DagangNews Skip to main content

Kenaikan purata tarif air bukan domestik lebih tinggi, Maybank IB semak naik unjuran untung bersih Ranhill Utilities sehingga 30%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran untung bersih Ranhill Utilities Berhad bagi FY23/24/25 sebanyak 19%/30%/22% selepas mengambil kira kenaikan 25sen/m3 dalam purata tarif air bukan domestik Ranhill SAJ Sdn. Bhd.

 

Firma itu kata, kenaikan purata tarif bukan domestik itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan 15 sen/m3 sebelum ini.

 

Katanya, dividen sesaham (DPS) kumpulan itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan dan membayangkan hasil dividen sebanyak 5%.

 

"Tesis pelaburan kami terus berkisar kepada penghantaran pendapatan daripada kenaikan tarif air yang dilaksanakan baru-baru ini," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, Ranhill mengisytiharkan DPS tunai interim kedua sebanyak 2 sen untuk FY22.

 

Ini menjadikan DPS setahun penuh kepada 2.5sen (lebih tinggi berbanding jangkaan 2 sen), mewakili pembayaran 33% (keuntungan bersih FY22 dirangsang oleh insentif NRW yang besar).

 

Selain itu, kumpulan itu melalui konsortiumnya dengan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) memenangi bidaan untuk loji kuasa 100MW di Pantai Barat Sabah.

 

Projek itu melibatkan reka bentuk, pembinaan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 100MW secara binaan, sendiri, kendalikan dan pemindahan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 65 sen sesaham.

 

Katanya, terdapat beberapa risiko untuk anggaran pendapatan, harga sasaran dan penilaian untuk Ranhill.

 

"Perkembangan kawal selia, seperti pembaharuan lesen dan penentuan tarif, mempunyai kesan langsung ke atas pendapatan. Gangguan loji kuasa tidak berjadual juga boleh mengakibatkan kerugian pendapatan untuk kumpulan," katanya. - DagangNews.com