Kenaikan tarif elektrik, margin untung bersih REIT runcit bagi tempoh sembilan bulan 2023 terjejas - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kenaikan tarif elektrik, margin untung bersih REIT runcit bagi tempoh sembilan bulan 2023 terjejas - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Margin untung bersih Real Estate Investment Trust (REIT) runcit bagi tempoh sembilan bulan 2023 sebahagiannya terjejas kesan kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Januari lalu. 

 

AmInvestment Bank Research berkata, keadaan itu bagaimanapun dikurangkan oleh hasil sewa lebih kukuh dalam tempoh sama hasil peningkatan ketara dalam jualan penyewa dan peningkatan di pusat beli-belah.

 

"Kami menjangkakan sektor runcit mengekalkan momentum pertumbuhannya pada suku keempat tahun ini kerana pada suku berkenaan lazimnya menonjol sebagai yang paling kukuh untuk REIT runcit disebabkan jualan akhir tahun.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran bagi pengembalian sewa yang lebih tinggi antara 5% hingga 6% pada 2023 berbanding sebelum ini, terutama untuk pusat beli-belah yang terletak di lokasi utama seperti Mid Valley Megamall, Pavilion Kuala Lumpur dan Sunway Pyramid.

 

"Bagaimanapun, pengembalian sewa untuk pusat beli-belah yang lebih kecil berkemungkinan kekal mendatar," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, cabaran berterusan untuk pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur disebabkan lebihan bekalan, memberi kesan kepada pemulihan dalam kadar penghunian dan pengembalian sewa.

 

Katanya, saingan daripada pejabat The Stride Strata di Pusat Bandar Bukit Bintang dan The Exchange TRX menambah lagi bekalan ruang pejabat di Lembah Klang.

 

"Kami menjangkakan pengembalian sewa yang mendatar untuk pejabat dan peningkatan terhad dalam kadar penghunian pada 2024, memandangkan lebihan bekalan ruang pejabat yang berterusan di tengah-tengah desentralisasi korporat dan trend pengaturan kerja yang fleksibel.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' dengan kadar penghunian yang stabil dilihat merentas aset utama.

 

Firma itu menjangkakan REIT runcit akan terus mengalami pertumbuhan yang sihat pada 2024 didorong kadar penghunian yang stabil dan pengembalian sewa yang positif. 

 

Ia disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kadar inflasi sederhana antara 2.5% hingga 3.5% (disebabkan oleh kesan rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai perkhidmatan) dan pemulihan beransur-ansur yang berterusan dalam industri pelancongan. - DagangNews.com