Kenali Tony Fernandes dengan lebih dekat di podcast, mulai Ahad ini | DagangNews Skip to main content

Kenali Tony Fernandes dengan lebih dekat di podcast, mulai Ahad ini

 

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes bakal melancarkan audio siar (podcast) pada Ahad ini, yang akan memaparkan perkongsian pengalaman dan pandangan beliau dalam pelbagai isu melalui perbualan bersama teman dan rakan-rakan yang telah berjaya menempa nama dalam bidang masing-masing.

 

Berjudul 'Talks with Tony', audio siar selama satu jam ini juga akan mengupas pelbagai topik menarik yang telah membantu membentuk jati diri beliau pada hari ini.

 

“Seperti yang anda ketahui, saya sering berkongsi pandangan saya di media sosial, dan audio siar ini adalah cara baharu untuk saya berhubung dengan orang ramai. 

 

Apa yang paling penting adalah saya ingin berkongsi pengalaman dan pandangan saya bukan sahaja bersama-sama rakan-rakan yang telah berjaya di dalam bidang mereka, malah rakan sekerja dan mereka yang paling rapat dengan saya dan berharap dapat memberikan nilai tambah dalam kehidupan para pendengar," menurut Tony dalam kenyataan hari ini.

 

Malah, beliau juga ingin memberi peluang kepada para pendengar untuk menimba serba sedikit pengetahuan dan pengalaman daripada pelbagai cerita yang dikongsinya dan rakan-rakan dalam pelbagai aspek termasuklah dalam mencapai kejayaan, menangani kegagalan, dan juga cabaran semasa dalam mengharungi COVID-19. 

 

Katanya, rakan-rakan lain yang turut serta dalam audio siar ini termasuklah mereka daripada industri perniagaan, sukan dan muzik yang merupakan sebahagian besar daripada kehidupannya, selain tokoh dan usahawan terkemuka.

 

Audio siar yang bakal bersiaran sebanyak 8 episod ini akan membawa pendengar mendekati Tony dengan lebih lanjut dan mendekati para tetamu terkemuka, termasuk anggota Black Eyed Peas will.i.am, Presiden UFC Dana White dan penerbit dan komposer David Foster.

 

Mengulas mengenai program ini, Foster menyifatkan Tony sememangnya mudah didekati dan disenangi. 

 

"Jadi saya tidak hairan jika audio siar beliau akan bertahan selama bertahun-tahun akan datang dengan memaparkan tetamu yang menarik. Saya berbesar hati kerana menjadi salah seorang daripada tetamunya,” katanya lagi.

 

'Talks with Tony/ boleh diakses melalui aplikasi Syok mulai 1 Ogos, selain di laman web rasmi talkswithtony.co mulai 2 Ogos ini serta menerusi platform audio siar lain, termasuk Spotify, Google dan Apple dari 8 Ogos. 

 

Ikuti episod pertama yang memaparkan sisi berbeza Tony menerusi topik kejayaan, kegagalan, tabiat dan lain-lain. 

 

Apakah satu perkara pelik mengenainya yang hanya diketahui oleh beberapa orang sahaja? Nantikan jawapannya di episod pertama pada minggu ini! - DagangNews.com