Kenanga Investment Bank catat 119% lonjakan keuntungan bersih, perolehan naik kepada RM204.2 juta untuk 1Q 2024 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investment Bank catat 119% lonjakan keuntungan bersih, perolehan naik kepada RM204.2 juta untuk 1Q 2024

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kenanga Investment Bank Berhad mencatat peningkatan perolehan kepada RM204.2 juta dan pertumbuhan dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM26.7 juta untuk 1Q24 berakhir 31 Mac 2024, mewakili kenaikan masing-masing 13.6% dan 115.3% berbanding 1Q23.

 

Kumpulan turut mencatat keuntungan bersih berjumlah RM22.8 juta, mencerminkan kenaikan 119.2% berbanding 1Q23, didorong terutamanya oleh pendapatan dagangan dan pelaburan yang lebih tinggi, pendapatan yuran pengurusan dan sumbangan besar dalam bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu yang berpangkalan di Arab Saudi, Al Wasatah Al Maliah, yang mencatatkan suku pertama yang luar biasa. 

 

Bagi tempoh dalam tinjauan, perniagaan Pengurusan Pelaburan dan Kekayaan Kumpulan melaporkan peningkatan dalam hasil kepada RM54.0 juta, peningkatan 6% daripada 1Q23, terutamanya didorong oleh peningkatan pendapatan yuran pengurusan.

 

Tambahan pula, Aset Di Bawah Pentadbirannya berkembang kepada RM22.8 bilion, meningkat 9.6% daripada suku yang sama tahun lepas. PBT bagi suku ini berjumlah RM7.6 juta.

 

Bagi perniagaan Derivatif Tersenarainya, perusahaan itu mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 3.3% kepada RM6.3 juta pada 1Q24, sebahagian besarnya disebabkan oleh pendapatan komisen dan faedah yang lebih tinggi yang dijana hasil daripada aktiviti perdagangan yang lebih tinggi. PBT berjumlah RM1.6 juta pada suku ini. 

 

Bahagian Pembrokeran Saham Kenanga mengukuhkan kedudukan penerajunya dengan bahagian pasaran runcit sebanyak 25% dan menyampaikan peningkatan hasil sebanyak 20% kepada RM84.8 juta pada 1Q24 berbanding 1Q23.

 

Pertumbuhan ini disebabkan oleh peningkatan pendapatan dagangan dan pelaburan, di samping pendapatan yuran pembrokeran, dirangsang oleh peningkatan volum dagangan di bursa tempatan.

 

Di sebalik pertumbuhan itu, bahagian itu mencatatkan kerugian kecil sebelum cukai (LBT) sebanyak RM1.2 juta hasil daripada peruntukan rosot nilai ke atas penjualan turun luar biasa di kaunter terpilih pada bulan Januari.

 

"Kami tidak menjangkakan peruntukan kredit selanjutnya yang akan memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan pembrokeran ekuiti sepanjang tahun ini," kata bank pelaburan itu dalam kenyataan di sini hari ini.   

 

Dari segi bahagian Perbankan Pelaburannya, hasil meningkat kepada RM56.3 juta berbanding RM52.5 juta pada 1S23, terutamanya didorong oleh keuntungan pertukaran asing yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, ia merekodkan LBT sebanyak RM2.1 juta pada 1Q24, disebabkan pendapatan faedah bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan kerugian kredit. 

 

 

Kenanga, Datuk Chay Wai Leong
                          Datuk Chay Wai Leong

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga, Datuk Chay Wai Leong berkata, pihaknya tetap optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek Kumpulan Kenanga dan terus berwaspada dalam memantau ketidaktentuan pasaran.

 

"Tanpa sebarang kejutan luaran yang tidak dijangka, kami menjangkakan akan menyaksikan aliran menaik dalam volum dagangan di Bursa Malaysia apabila ekonomi meneruskan trajektori positifnya,” kata beliau. 

 

Kumpulan kekal sebagai konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, mengesahkan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh. Dengan penarafan ESG 4.0, meningkat daripada 3.7, Kumpulan Kenanga kini menduduki tempat ke-82 peratusan dalam siri indeks berprestij. - DagangNews.com