Kenanga Research anggar purata harga minyak sawit mentah 2024 pada paras RM3,800 setiap tan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research anggar purata harga minyak sawit mentah 2024 pada paras RM3,800 setiap tan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - Kenanga Research menganggarkan harga purata minyak sawit mentah (MSM)  berada pada paras RM3,800 bagi setiap tan pada tahun ini.

 

Katanya, harga juga biasanya lebih kukuh pada suku pertama dan berada pada harga paling lemah pada suku ketiga kerana pada suku tersebut berlaku penuaian bagi empat tanaman minyak utama dunia iaitu kelapa sawit, soya, biji sesawi dan bunga matahari.

 

Daripada tanaman itu, harga minyak kacang soya adalah lebih stabil mungkin disebabkan tanaman itu dituai secara besar-besaran sebanyak dua kali pada setiap tahun iaitu pada suku kedua terutamanya di Brazil dan suku ketiga dengan majoriti di Amerika Syarikat (AS). 

 

"Sebaliknya harga minyak sawit cenderung untuk menghadapi perubahan yang lebih ketara.

 

"Pengeluaran minyak sawit memuncak hanya sekali setahun tetapi ia juga merupakan minyak makan yang paling banyak didagangkan dan dipengaruhi pelbagai faktor luaran seperti ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan atau ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan tanaman minyak lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kos pengeluaran dijangka menurun kerana harga baja dan bahan api global telah berkurangan sejak pertengahan 2023.

 

Kos pengeluaran antara Januari hingga Februari 2024 masih antara 5% hingga 10% lebih rendah berbanding suku keempat tahun lalu.

 

"Bagaimanpun keadaan mungkin berubah kerana gaji minimun di Malaysia akan dinaikkan antara 5% hingga 10% memandangkan inflasi rasmi terkumpul adalah sebanyak 6% berbanding 2022 dan 2023," katanya.

 

Kenanga Research berkata, imbangan minyak makan global dijangka kekal ketat pada tahun ini dan dijangka berlarutan hingga pertengahan 2025. 

 

Katanya, tahap invesntori pada 2025 dijangka lebih rendah atau mendatar.

 

"Oleh itu, andaian kami mengenai harga MSM yang kukuh tetapi mendatar sebanyak RM3,800 bagi setiap tan," katanya. - DagangNews.com