KUALA LUMPUR 17 Jan - Kenanga Research menjangkakan prospek kurang menggalakkan bagi sektor pembungkusan plastik pada 2023 kesan ekonomi global yang perlahan.
Firma itu berkata, gangguan rantaian bekalan juga diunjur terus berlarutan dan memberi kesan kepada operasi meskipun terdapat permintaan terhadap produk pembungkusan plastik .
"Kami menjangkakan permintaan perlahan pada tahun ini khususnya pada 1HFY23," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, firma penyelidikan Mordor Intelligence mengunjurkan pasaran pembungkusan plastik global berkembang pada kadar tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 3.5% pada 2022-2027.
Firma itu juga percaya, pemain industri tempatan boleh berkembang pada kadar yang lebih tinggi dengan ketara kerana mereka memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara yang kehilangan daya saing akibat peningkatan kos pengeluaran.
"Masalah pengeluaran turut berlaku di Eropah berpunca daripada kos tenaga yang tinggi atau kekurangan bekalan tenaga selepas berlakunya konflik Rusia-Ukraine.
"Penggiat industri pembungkusan plastik dibawah liputan kami merancang pengembangan agresif dengan mengambil kesempatan terhadap situasi semasa," katanya.
Firma itu berkata, keadaan semasa itu boleh diimbangi dengan pertambahan tenaga kerja yang akan meningkatkan produktiviti dan margin keuntungan yang lebih baik apabila kos resin yang tinggi mula menurun secara beransur-ansur.
Pilihan utama firma itu dalam sektor berkenaan adalah Thong Guan Industries Berhad dan mereka menyukainya kerana kestabilan pendapatan, disokong oleh kepelbagaian portfolio produk.
Katanya, prospek perkembangan kumpulan itu juga adalah bersandarkan kepada produk premiumnya seperti filem pembungkusan nano, beg kurier, plastik pembungkusan makanan dan bag industri.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor pembungkusan plastik," katanya. - DagangNews.com