Kenanga Research kekal neutral terhadap sektor teknologi kesan pelarasan inventori industri | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal neutral terhadap sektor teknologi kesan pelarasan inventori industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi berikutan pelarasan inventori industri yang berpanjangan.

 

Firma itu berkata, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan penguncupan sebanyak 4.1% pada 2023 kerana permintaan cip akan terus lemah terutama bagi elektronik pengguna, disebabkan oleh kadar faedah serta inflasi yang tinggi.

 

Katanya, perkara itu berlaku apabila pertumbuhan jualan semikonduktor global 2022 sebanyak 3.3% kurang daripada anggaran WSTS sebanyak 4.4% disebabkan oleh kelembapan ketara dalam separuh kedua 2022.

 

"Permintaan cip global terus menguncup sejak penurunan pertamanya pada September 2022.

 

"Selepas itu pada Disember 2022, jualan di AS bertukar negatif buat kali pertama dengan penurunan 6.1% menyertai pasaran China dan Asia Pasifik dalam trajektori pertumbuhan negatif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun pengumuman China membuka semula sempadannya pada Januari 2023 menaikkan sentimen keseluruhan ketika itu, ia sebenarnya memberikan sedikit rangsangan kepada permintaan asas.

 

Katanya, ia terbukti dengan permintaan pada Januari 2023 (-18.5%) seperti yang dilaporkan oleh Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) di seluruh AS (-12.4%), Eropah (+0.9%) dan Jepun (+0.7%), China ( -31.6%) dan Asia Pasifik (-19.5%).

 

Mengulas mengenai telefon pintar, firma itu berkata, ketiadaan jualan murah akhir tahun, penghantaran peranti global bagi suku keempat 2022 merosot sebanyak 20%.

 

"Prospek dijangka kekal lemah kerana pasaran telefon pintar memasuki kitaran rendah bermusim pada suku pertama 2023, minat pengguna yang semakin berkurangan untuk menaik taraf apabila teknologi telefon pintar dan permulaan penurunan purata harga jualan (ASP) selepas peningkatan pesat dalam beberapa tahun lepas daripada $334 pada 2019 kepada $415 pada 2022.

 

"Oleh itu, International Data Corporation (IDC) pada awal Mac 2023 telah menyemak semula unjuran penghantaran telefon pintar global 2023 daripada pertumbuhan 2.8% kepada penguncupan 1.1%.," katanya. - DagangNews.com