Kenanga Research kekal unjuran TIV sebanyak 720,000 unit untuk 2023 bagi menyamai rekod tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research kekal unjuran TIV sebanyak 720,000 unit untuk 2023 bagi menyamai rekod tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 April - Kenanga Research mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit, menyamai rekod yang dicapai pada 2022.

 

Firma itu berkata, keyakinan itu disokong oleh keyakinan pengguna dipacu ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.

 

Unjuran itu juga disokong oleh langkah Bank Negara Malaysia (BNM) yang menghentikan seketika kenaikan kadar dasar semalam (OPR) selain harga kereta baharu yang stabil kerana penangguhan peraturan duti eksais baharu.

 

"Penangguhan peraturan duti eksais berpotensi membuatkan kos sewa beli lebih murah dengan pengenalan kaedah mengurangkan baki dalam pengiraan caj faedah, dan model kenderaan baharu yang menarik.

 

"Unjuran kami adalah 11% lebih tinggi daripada 650,000 unit yang disasarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, jumlah tunggakan tempahan industri telah bertahan pada tahap yang agak kukuh iaitu 300,000 unit berbanding tempahan 350,000 unit tiga bulan lalu walaupun penghantaran agak lambat.

 

Katanya, ia menunjukkan minat belian kukuh yang berterusan selain tarikan terhadap model baharu yang ditawarkan.

 

"Kami mengunjurkan corak itu akan kekal sehingga akhir tahun," katanya.

 

Firma itu berkata pilihan utama mereka dalam sektor automotif adalah MBM Resources Berhad (outperform; TP: RM4.60) dan Bermaz Auto Berhad (outperform; TP: RM2.90) kerana kedua-duanya dengan hasil dividen menarik kira-kira 7%," katanya. - DagangNews.com