Kenanga Research mulakan liputan terhadap Kotra Industries dengan saranan 'outperform', TP RM7.00 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap Kotra Industries dengan saranan 'outperform', TP RM7.00

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Kotra Industries Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana prospek pasaran jualan ubat over-the-counter (OTC) selain model perniagaan bersepadu melibatkan keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal.

 

Katanya, margin keuntungan yang besar daripada model perniagaan pembuatan perniagaan asal (OBM) seperti jenama kukuh seperti Appeton.

 

"Ketiga-tiga perkara itu menjadi asas penting kepada kepada model perniagaan kumpulan.

 

"Model perniagaan kumpulan merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal daripada konsep produk bermula daripada R&D kepada pembuatan dan jualan.

 

"Kumpulan ini menawarkan rangkaian produk penjagaan kesihatan OTC, produk pemakanan dan farmaseutikal dengan jenama utamanya Appeton, Axcel dan Vaxcel," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan 22% keuntungan bersih bagi 1QFY23 dipacu oleh jualan yang lebih tinggi daripada pasaran tempatan dan keuntungan pertukaran asing.

 

Keuntungan bersih meningkat kepada RM18.24 juta untuk 1QFY23 daripada RM14.92 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 27% kepada RM64.75 juta daripada RM51.09 juta dalam tempoh itu.

 

Firma itu berkata, Tinjauan Pasaran Pengguna di Malaysia, pasaran farmaseutikal OTC diramalkan berkembang pada CAGR sebanyak 6% kepada anggaran AS$715 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027.

 

Katanya, meningkatkan potensi pertumbuhan ialah lonjakan permintaan di seluruh dunia untuk produk makanan tambahan kerana pengguna mengambil sikap yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka, terutamanya berikutan pandemik COVID-19.

 

"Pertumbuhan pasaran OTC domestik pada masa hadapan bertambah baik untuk kumpulan itu kerana segmen OTC menyumbang 53% daripada hasil FY22," katanya. - DagangNews.com