Kenanga Research mulakan liputan terhadap Kumpulan Perangsang Selangor dengan saranan 'outperform', TP 77 sen | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research mulakan liputan terhadap Kumpulan Perangsang Selangor dengan saranan 'outperform', TP 77 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dengan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) 77 sen.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana kepelbagaian portfolio produknya selain pengembangan operasi luar negaranya yang lebih besar dalam rantaian bekalan peralatan penggunaan global.

 

"Kami mengunjurkan keuntungan bersih FY23 berkembang sebanyak 14% selepas gangguan rantaian bekalan global reda dan membolehkan mereka memanfaatkan rancangan pengembangannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu merupakan syarikat milik Kerajaan Selangor yang terlibat dalam pembuatan, perdagangan, pelesenan dan infrastruktur.

 

Bahagian pembuatan mengeluarkan produk perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berasaskan plastik dalam segmen komunikasi, IT dan elektronik pengguna, serta komponen perindustrian dan automotif bersama dengan percetakan dan pembungkusan bersepadu.

 

Bahagian perdagangan dikhususkan dalam segmen kumbahan dan rawatan air serta pelesenan seluruh dunia bagi tilam jenama King Koil.

 

Firma itu menjangkakan aliran menaik pesanan untuk produk elektronik berikutan kadar transformasi digital yang semakin meningkat di seluruh dunia.

 

Statistik terkini menunjukkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia berkembang 12.5% pada Julai 2022 dipacu oleh sektor pembuatan dengan produk E&E menyumbang 17.3%.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu akan berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kelembapan ekonomi global yang akan menjejaskan permintaan produk perkilangan selain kekurangan tenaga pekerja serta peningkatan kos input.

 

"Pada masa sama, kumpulan itu juga berdepan cabaran pembatalan kontrak daripada pelanggan utama menyebabkan kerugian pendapatan serta reputasi," katanya. - DagangNews.com