Kenanga Research positif terhadap prospek jangka sederhana Wasco didorong perkembangan semua segmen perniagaan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek jangka sederhana Wasco didorong perkembangan semua segmen perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kenanga Research positif terhadap prospek jangka sederhana Wasco Bhd didorong pertumbuhan positif dalam segmen salutan paip, kejuruteraan dan perniagaan biotenaga kumpulan itu.

 

Katanya, kumpulan itu menjangkakan peningkatan permintaan salutan paip mengekalkan trajektori menaiknya didorong peningkatan yang dijangkakan dalam pembinaan saluran paip global.

 

“Kumpulan itu menjangkakan industri salutan paip mendapat manfaat daripada peningkatan pengeluaran minyak dan gas, serta pelaburan dalam infrastruktur tenaga baharu (penangkapan karbon dan hidrogen) oleh syarikat minyak di seluruh dunia.

 

"GlobalData mengunjurkan bahawa 196,130km saluran paip minyak dan gas batang baharu akan dipasang mulai tahun ini hingga 2030.

 

“Ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan 102,000km saluran paip baharu yang dipasang sejak tujuh tahun lalu, menurut GlobalData,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu juga menyatakan bahawa syarat kontrak juga menjadi lebih baik untuk perkhidmatan salutan paip dan fabrikasi modul huluan Wasco di tengah-tengah persaingan sengit untuk kontraktor yang berkelayakan.

 

“Kami menjangkakan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kepada purata hampir 8.1% pada tahun kewangan 2024 (FY24) berbanding 7.4% pada FY23," katanya.

 

Selepas mengira hasil yang lebih tinggi dan andaian margin EBIT, firma penyelidikan menaikkan unjuran pendapatan FY24 kepada FY25 masing-masing sebanyak 7% dan 11%.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.70 sesaham," katanya.- DagangNews.com