Kenanga Research positif terhadap prospek sektor pembinaan didorong pelancaran projek infrastruktur mega | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek sektor pembinaan didorong pelancaran projek infrastruktur mega

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kenanga Research positif terhadap prospek sektor pembinaan didorong pelancaran projek infrastruktur mega yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

Katanya, antara projek yang terlibat termasuk Laluan Aliran Transit Massa 3 (MRT3), MRT Pulau Pinang dan projek tebatan banjir selain projek sektor swasta yang disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam segmen semikonduktor serta pusat data baharu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan sektor itu seharusnya bertambah baik didorong momentum positif aliran kerja.

 

"Gamuda Bhd memberi panduan untuk meraih pekerjaan baharu bernilai RM25 bilion dalam tempoh 24 bulan manakala Sunway Construction Group Bhd mengunjurkan kemenangan pekerjaan baharu bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak RM3 bilion berbanding RM2.5 bilion pada tahun sebelumnya.

 

“Walaupun WCT Holdings Bhd tidak menerima sebarang pekerjaan utama baharu pada FY23, ia juga memberi panduan untuk kemenangan pekerjaan baharu yang meningkat sebanyak RM3 bilion. 

 

"Sementara itu, kemenangan kerja baharu IJM Corporation Bhd sehingga kini sebanyak RM3.62 bilion telah melebihi unjuran RM3 bilion dan kami menjangkakan RM4.6 bilion kemenangan pekerjaan pada FY25,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Selain itu, Kerjaya Prospek Bhd telah memperoleh sejumlah RM377.9 juta kemenangan pekerjaan berbanding unjuran awal sebanyak RM1.5 bilion dan Kimlun Corporation Bhd telah memperoleh pekerjaan baharu sebanyak RM133.6 juta pada FY24.

 

Kenanga Research berkata, terdapat peningkatan ketara dari segi pendapatan sektor itu berbanding jangkaannya pada suku keempat 2023.

 

“Keputusan bagi tempoh sembilan bulan FY24 IJM mengatasi unjuran kami disebabkan pengebilan hartanah yang lebih baik, manakala keputusan FY23 Sunway Construction mengatasi unjuran terhadap jualan yang belum dibilkan," katanya.

 

Keuntungan teras Gamuda bagi 1QFY24 melonjak 35% disebabkan pendapatan luar negara yang kukuh atas pengebilan pembinaan yang lebih tinggi daripada Sydney Metro West dan pendapatan sulung daripada DT Infrastructure Pty Ltd.

 

Sementara itu, keuntungan teras FY23 Kerjaya Prospek melonjak 20% pada pembinaan dan bil hartanah yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' dengan Gamuda, IJM dan Sunway Construction menjadi pilihan utama dalam sektor itu," katanya.- DagangNews.com