Kenanga Research positif usaha Mah Sing tubuhkan syarikat kerjasama tembusi pasaran palet plastik Indonesia | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif usaha Mah Sing tubuhkan syarikat kerjasama tembusi pasaran palet plastik Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Kenanga Research positif langkah Mah Sing Group Berhad menubuhkan syarikat kerjasama (JV) bagi memanfaatkan keupayaannya bagi menembusi pasaran pembuatan dan pengedaran palet plastik di Indonesia.

 

Katanya, kerjasama dengan PT Gaya Sukses Mandiri Kaseindo (PT Gaya) dijangka membolehkan kumpulan itu terus memanfaatkan peluang pasaran yang semakin meningkat terutamanya di Indonesia didorong prospek ekonomi yang kukuh dalam tempoh terdekat.

 

"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan sumbangan bermakna daripada segmen itu dalam jangka masa terdekat kerana ia dijangka terus mengalami kerugian kerana diheret bahagian sarung tangan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pembentukan JV itu menyaksikan Mah Sing Plastics Industries memegang 70% pegangan saham manakala baki 30% dipegang PT Gaya.

 

Usaha itu adalah bagi mengembangkan operasi pembuatan palet plastik bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Indonesia selain mengatasi kekangan kapasiti kemudahan di Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing, PT Gaya bentuk syarikat kerjasama bagi luaskan peniagaan pembuatan palet plastik di Indonesia

 

Katanya, pasaran palet plastik Indonesia mewakili peluang pertumbuhan yang ketara bagi kumpulan itu dan pada masa ini ia dikuasai oleh palet kayu tradisional, terdapat trend yang semakin meningkat serta permintaan untuk alternatif mesra alam yang boleh dikitar semula, terutamanya palet plastik.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kerjasama itu juga akan membantu mengembangkan kapasiti pengeluaran Mah Sing di Indonesia dengan bergantung kepada kepakaran PT Gaya dalam memanfaatkan rangkaian pengedaran sedia ada.

 

"Kami mendapati bahawa PT Gaya tidak mempunyai kemudahan pengilangan plastik sedia ada bagi menyokong kerjasama itu," katanya.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menyukai Mah Sing kerana usahanya dalam memastikan nisbah penggearan bersihnya terkawal dengan bacaan 3QFY23 sebanyak 0.13x berbanding 0.34x pada 2QFY22 selain produk yang fokus kepada gaya hidup yang menyediakan kemudahan kemasukan untuk pembeli rumah pertama serta pengurusan bank tanah baik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com