Kenanga Research 'potong' unjuran untung bersih BP Plastics sebanyak 22% kesan kos input tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research 'potong' unjuran untung bersih BP Plastics sebanyak 22% kesan kos input tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih BP Plastics Holding Berhad sebanyak 22% didorong oleh kos input dan tenaga kerja yang lebih tinggi.

 

Pada masa sama, firma itu juga menyemak turun unjuran untung bersih FY23 kumpulan itu sebanyak 15% kesan daripada penggunaan yang sederhana antara 60-65% (daripada 65-70%) dan hasil kos seunit yang lebih tinggi berikutan permintaan eksport yang lebih lemah.

 

"Sementara itu, rancangan pembesarannya iaitu pentauliahan poduk filem pembungkusannya pada 4QCY22 akan meningkatkan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 18,000 tan kepada 138,000 tan.

 

"Mereka juga membeli dua mesin filem blown extrusion bersama (coex) pada harga RM19 juta untuk mengembangkan pengeluaran produk filem tertentu seperti filem susut, hud regangan dan filem laminasi.

 

"Kedua-dua mesin dengan kapasiti gabungan 1,200-1,400 tan/bulan akan meningkatkan kapasiti filem pembungkusan tahunannya kepada 46,800 tan dan ia dijangka digunakan pada penghujung FY23 dengan sumbangan pendapatan pertama diraih pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana kekuatannya dalam pasaran Asia Tenggara dan dijangka kekal berdaya saing walaupun berdepan tekanan ekonomi.

 

Katanya, kekuatan aliran tunai dan kunci kira-kira akan menyeimbangkan tekanan yang dihadapi dan rancangan pengembangan kumpulan akan membantu perkembangan margin keuntungannya.

 

"Bagaimanapun, kami bimbang dengan penurunan ketara dalam permintaan sekiranya berlaku kelembapan mendadak atau kemelesetan ekonomi global," katanya.

 

Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) RM1.38 sesaham.

 

"Kumpulan itu juga bedepan risiko termasuk harga resin yang kekal tinggi, pengurangan permintaan untuk bahan pembungkusan sekiranya berlaku kelembapan mendadak dalam ekonomi global serta kekurangan tenaga kerja," katanya. - DagangNews.com