Kenanga Research ramal kerugian FY24 Tan Chong Motor mengecil kepada RM79 juta disokong tukaran mata wang asing lebih baik | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal kerugian FY24 Tan Chong Motor mengecil kepada RM79 juta disokong tukaran mata wang asing lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kenanga Research meramalkan kerugian bersih FY24 Tan Chong Motor Holdings Bhd mengecil kepada RM79 juta berbanding RM112.7 juta dengan andaian tukaran mata wang asing lebih memihak kepada kumpulan itu.

 

Katanya, kerugian pada 1QFY24 adalah lebih kecil berbanding unjuran (17% daripada unjuran setahun penuh) tetapi lebih besar daripada jangkaan pasaran (32% daripada anggaran kerugian konsensus setahun penuh). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, varians utama terhadap ramalan itu adalah daripada pergerakan tukaran mata wang asing yang menggalakkan. 

 

"Hasil 1QFY24 kumpulan itu merosot 9% kesan daripada penguncupan jualan tempatan kenderaan Nissan sebanyak 14% kepada 2,145 unit akibat persaingan kompetitif selain pasaran dibanjiri dengan model kereta baharu.

 

"Bagaimanapun, hasil perkhidmatan kewangannya meningkat 7%, kami percaya, disebabkan oleh skim sewa belinya yang sangat kompetitif selain terdapat sedikit sumbangan daripada bahagian tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi 1QFY24, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM15.7 juta dengan hasil sebanyak RM563.7 juta, berbanding kerugian bersih RM5.1 juta dengan hasil sebanyak RM619. 9 juta pada tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi pecahan serantau, pasaran domestik (90% daripada hasil kumpulan) menunjukkan jualan yang lemah (-4%) dan keuntungan (-21%) didorong oleh hanya tiga model Nissan Almera Turbo, Serena dan Navara.

 

Katanya, operasi luar negara terus mengalami kerugian di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar. 

 

"Operasinya di Vietnam (10% daripada hasil kumpulan) merekodkan jualan marginal hanya RM2.2 juta (-95%) dan kerugian lebih tinggi sebanyak RM12.1 juta (daripada kerugian RM4.2 juta pada 1QFY23). 

 

"Pasaran lainnya (Kemboja, Laos dan Myanmar) mencatat pertumbuhan jualan yang lebih rendah (-21%), dengan kerugian RM0.6 juta," katanya.

 

Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan itu kerana bahagian pasaranna alam industri adalah 1% selain kekurangan pelancaran model baharu berbanding pesaingnya dan kegagalan untuk mengekang kenaikan kos pengeluaran.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 74 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com