Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan CTOS sebanyak 7% bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan CTOS sebanyak 7% bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Feb - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan CTOS Digital Berhad bagi FY23 sebanyak 7% bagi memadankan penaympaian hasil kumpulan itu dalam segmen akaun utamanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga akan mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 20% bagi FY24.

 

"Unjuran pendapatan kami sebanyak RM122 juta bagi FY24 adalah sedikit rendah berbanding keuntungan antara RM125 juta dan RM130 juta yang ditetapkan kumpulan itu kerana kami memilih untuk bersikap konservatif terhadap ketidaktentuan jangka sederhana," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 65.7% kepada RM71.45 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) daripada RM43.12 juta yang dicatatkan pada FY21, didorong oleh hasil yang lebih tinggi.

 

Hasil meningkat 27.2% kepada RM194.78 juta daripada RM153.17 juta, disokong oleh pertumbuhan secara organik dan bukan organik.

 

Berdasarkan keada keadaan semasa, kumpulan itu percaya kadar penggunaan penyelesaian kreditnya akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk data dan analitik.

 

Firma itu berkata, sebagai tambahan kepada pelanggan perbankan dan telekomunikasi utama, kumpulan itu berusaha untuk menambah sektor insurans kepada portfolionya.

 

Katanya, kumpulan itu tidak berminat untuk menaikkan harga perkhidmatannya buat masa ini dan memilih untuk meningkatkan ARPU melalui jualan silang tetapi mungkin memberi kesan kepada margin kasar dalam jangka pendek.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana melihat merit dalam pelaporan kredit (77% bahagian pasaran domestik), keuntungan sinergi dan operasi berskala untuk penembusan serantau pada masa hadapan.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan untuk perkhidmatan berkaitan kredit, berlakunya kenaikan kos yang tidak dijangka dan kehilangan status perintis," katanya. - DagangNews.com