Kenanga Research semak turun penarafan Inari Amertron kepada 'market perform' | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak turun penarafan Inari Amertron kepada 'market perform'

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kenanga Research menyemak turun penarafan Inari Amertron Berhad kepada 'market perform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM2.85 sesaham.

 

Firma itu berkata, semakan itu dibuat kerana menjangkakan prestasi kumpulan itu akan terjejas akibat persekitaran makro yang mencabar dan memberi kesan kepada kehendak pengguna kepada barangan premium.

 

"Terdapat hakikat bahawa pelanggan telefon pintar Amerika Syarikat (AS) juga telah memberi amaran tentang masa penghantaran yang lebih lama daripada jangkaan pada musim perayaan yang akan datang disebabkan cabaran rantaian bekalan yang berterusan akibat dasar sifar COVID-19 di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih mencecah RM106.25 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir pada 30 September 2022, setanding dengan keuntungan bersih pada suku perbandingan sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) bagaimanapun menurun kepada 2.86 sen berbanding 2.98 sen pada tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi suku dalam tinjauan ialah RM377 juta, turun 12.55% tahun ke tahun.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu kerana menjadi proksi terdekat bagi penggunaan teknologi 5G selain menjadi sangat responsif nkepada permintaan pasaran dengan pelancaran teknologi baharu seperti pengacuan dua sisi (DSM) dan modul sistem (SOM), sebelum ini.

 

Katanya, pengembangan kumpulan yang ketara di China juga berjaya memanfaatkan dorongan agresif kuasa besar itu untuk segmen semikonduktor.

 

"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati berikutan permintaan pengguna yang semakin berkurangan dalam pasaran telefon pintar manakala projek kerjasamanya mungkin hanya menyumbang secara bermakna dalam 2HFY24," katanya. - DagangNews.com