Kenanga Research unjur PATAMI teras SDS Group berkembang positif bagi FY23, FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur PATAMI teras SDS Group berkembang positif bagi FY23, FY24

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - Kenanga Research mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras SDS Group Berhad bagi FY23 dan FY24 masing-masing meningkat kepada RM28.1 juta dan RM35.7 juta.

 

Firma itu berkata,  pemangkin utama kepada perkembangan itu termasuk perkembangan saluran pengedaran borong dan cawangan baharu di sekitar Lembah Klang.

 

Katanya, kumpulan itu memiliki sejumlah 34 cawangan yang kebanyakanya terletak di Johor dan memiliki ekuiti jenama yang baik didorong daripada pertumbuhan positif di kawasan strategik.

 

"Kumpulan itu sedang berusaha mengembangkan kehadiran mereka di Lembah Klang dan Johor dengan tiga ke empat cawangan baharu bakal dibuka kerana sebelum ini ia terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Kami percaya bahawa pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura akan merangsang lalu lintas,yang membawa kepada peningkatan kehadiran pelanggan cawangan mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata,  pembukaan semula sektor ekonomi dan kembalinya orang ramai ke pejabat telah meningkatkan permintaan untuk barangan semasa dalam perjalanan yang mudah termasuk makanan seperti roti.

 

Katanya, dalam usaha mengembangkan jangkauan pasarannya, mereka menjalinkan kerjasama dengan peruncit seperti Aeon, Giant, NSK, Ninso, Ecoshop serta pengusaha stesen minyak.

 

"Kami juga percaya francais akan menyediakan satu lagi saluran perkembangan dengan meningkatkan bilangan cawangan tanpa membebankan kunci kira-kira selain mengukuhkan kedudukan jenamanya di seluruh Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga wajar (FV) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com