Kenanga Research unjur pendapatan FBM KLCI menguncup 1.2% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur pendapatan FBM KLCI menguncup 1.2% pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kenanga Research mengunjurkan pendapatan FBM KLCI pada 2023 menguncup sebanyak 1.2% (daripada +10.5%) dan menyemak turun sasaran FBM KLCI akhir tahun kepada 1,480 mata (daripada 1,610 mata).

 

Dalam nota Kad Laporan suku pertama 2023, firma penyelidikan itu berkata, keputusan yang dicatatkan badan korporat Malaysia kurang memberangsangkan.

 

Katanya, kebanyakan syarikat berdepan masalah harga komoditi yang lemah, beban tarif elektrik yang lebih tinggi dan kos tenaga kerja, kelembapan dalam ekonomi global, pengurangan dalam hayat berguna untuk aset telekomunikasi dan inventori kos tinggi.

 

"Bagaimanapun, bank menunjukkan daya tahan pendapatan luar biasa," katanya.

 

Firma itu berkata, hanya dua saham komponen FBM KLCI di bawah liputan mengatasi unjuran iaitu MISC Berhad (kadar pengangkutan penghantaran petroleum yang kukuh) dan Petronas Dagangan Berhad (jumlah jualan yang kukuh).

 

Katanya, sjumlah 13 saham komponen FBM KLCI di bawah liputannya tidak mencapai unjuran iaitu Axiata Group Berhad (pelarasan perakaunan di CDB bersekutu), Genting Malaysia Berhad (ketibaan pelancong luar jangka), Genting Berhad (kehadiran pelancong yang lemah dan harga minyak sawit mentah (MSM) rendah direalisasikan di Genting Plantations Berhad) dan Inari Amertron Berhad (pesanan lemah untuk produk frekuensi radio).

 

Selain itu, IOI Corp Berhad, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Sime Darby Plantation Berhad (harga MSM rendah direalisasikan, kos lebih tinggi), MR DIY Group Berhad (pertumbuhan dan margin yang lemah), Petronas Chemicals Group Berhad (jumlah jualan yang lemah) PPB Group Berhad (pemulihan yang lemah dalam segmen makanan dan penggunanya), Press Metal Aluminium Holdings Berhad (harga aluminium rendah direalisasikan) dan Sime Darby Berhad (keuntungan pengedar kereta yang lemah di China).

 

“Terdapat bilangan tinggi saham komponen bukan KLCI FBM di bawah liputan kami yang berada dalam keadaan rugi pada suku tersebut dengan sebab yang paling biasa ialah kelembapan ketara dan/atau kenaikan mendadak dalam kos.

 

“Ini termasuk Ann Joo Resources Berhad, Dayang Enterprise Holdings Berhad, Hartalega Holdings Berhad, JHM Consolidation Berhad, KESM Industries Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Malakoff Corp Berhad, Media Chinese International Ltd, Malaysian Genenomics Research Centre Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, MyNews Group Berhad, Pos Malaysia Berhad, Supermax Corp Berhad, Tan Chong Motor Holdings Berhad, Top Glove Corp Berhad dan WCT Berhad.

 

“Satu lagi kumpulan syarikat, atas sebab yang hampir sama, termasuk D&O Green Technologies Berhad, FGV Holdings Berhad, GenM, Kimlun Corp Berhad dan TSH Resources Berhad,” katanya.

 

Firma itu berkata, pasaran akan terus menghadapi halangan untuk merealisasikan potensi penuhnya, situasi yang dialaminya sepanjang sebahagian besar tahun ini.

 

“Secara domestik, sementara kerajaan perpaduan terus memajukan agenda pembaharuan dasarnya yang memihak kepada pendekatan yang lebih progresif, pro-pengguna, pro-persaingan dan pasaran bebas, ia akan melakukannya pada kadar yang lebih terukur dan cara yang halus, mendahului enam pilihan raya negeri yang kini dijangka diadakan pada Ogos 2023,” katanya. - DagangNews.com