Kenanga Research unjur Wasco raih untung bersih RM11.3 juta setahun daripada projek di Afrika | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur Wasco raih untung bersih RM11.3 juta setahun daripada projek di Afrika

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kenanga Research mengunjurkan Wasco Berhad meraih untung bersih setahun sebanyak RM11.3 juta menerusi kontrak baharu bernilai AS$33.89 juta (RM161.86 juta) daripada Schneider Electric France bagi pembekalan bangunan pasang siap bagi projek di Afrika.

 

Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan 10% margin bersih daripada pekerjaan tersebut (pekerjaan kejuruteraan dan fabrikasi lazimnya berada dalam julat ini).

 

"Kami positif dengan kontrak terbaharu yang telah meningkatkan kemenangannya kepada RM1 bilion dan mereka juga berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran sebanyak RM1.5 bilion selain buku pesanan tertunggaknya kepada RM4 bilion.

 

"Kami percaya risiko perlaksanaan untuk kerja itu akan terurus memandangkan pengalaman lepasnya dalam pekerjaan berkaitan fabrikasi dan kerumitan kerja itu dianggap lebih rendah berbanding tugasan modul bahagian atas unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Wasco peroleh kontrak RM161.86 juta bekal bangunan pasang siap di Afrika

 

Terdahulu, skop kerja kontrak itu melibatkan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan bangunan pasang siap.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak. Kontrak itu projek khusus dan tidak boleh diperbaharui.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 89 sen sesaham.

 

Katanya, saranan itu adalah disebabkan tekanan kos ke atas operasi disebabkan gangguan rantaian bekalan berterusan, pertumbuhan pendapatan yang telah banyak ditentukan dalam harga sahamnya dan faktor geopolitik. - DagangNews.com