Kenapa perlu ada bank data pelancongan? | DagangNews Skip to main content

Kenapa perlu ada bank data pelancongan?

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - Penubuhan bank data pelancongan yang berpusat dan diselaraskan mampu menyebarkan lebih banyak faedah ekonomi yang dihasilkan oleh industri berkenaan.

 

Ini sama ada disumbangkan secara langsung mahupun tidak langsung, menurut nota kajian Ambank Research. 

 

Menerusi sistem bank data, maklumat yang menyeluruh mengenai pelancongan dan perniagaan berkaitan di peringkat industri, majlis tempatan, negeri dan nasional dapat disimpan.

 

“Ia akan membantu kedua-dua penggubal dasar dan perniagaan untuk mencari jalan dan kaedah bagi menangani isu berterusan yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19. 

 

“Ini termasuk menghalang kehilangan lebih banyak pekerjaan dalam masa yang sama mewujudkan pekerjaan sementara dalam industri, menambah kemahiran dan melatih semula tenaga kerja berdasarkan permintaan semasa industri,” jelas nota kajian itu menurut laporan Bernama.

 

Tambah Ambank Research, kewujudan bank data juga penting untuk menangani isu kehilangan tenaga kerja sekiranya terdapat pekerja industri yang mungkin beralih kepada pekerjaan tidak berkaitan seperti pemandu Grab. 

 

“Walaupun pemulihan daripada pandemik COVID-19 tidak sekata antara pelbagai sektor ekonomi, namun ekonomi pelancongan berisiko tinggi menjadi antara yang terakhir untuk pulih. 

 

“Ini meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan, yang disokong oleh pelancong tempatan. Pelancong jarak jauh dilihat cenderung menjauhkan diri sehingga keyakinan terhadap keselamatan perjalanan kembali pulih, yang mungkin dicapai pada 2022,” kata Ambank Research lanjut. 

 

Berdasarkan nota kajian sama, ekonomi pelancongan di dalam negara menyumbang sebanyak 15.9% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebelum penularan COVID-19. 

 

Bagi prospek masa hadapan industri, Ambank Research melihat penggubal dasar perlu merangka tindakan yang lebih padu dan terselaras dalam mengurangkan impak pandemik seterusnya menyokong pemulihan industri. 

 

Untuk rekod, sebelum pandemik COVID-19, Malaysia meletakkan sasaran yang agak tinggi untuk menarik 30 juta pelancong pada 2020 berbanding 26.1 juta dicatatkan pada 2019. 

 

Unjuran itu mengambil kira jangkaan jumlah perbelanjaan pelancong asing ke negara ini kira-kira RM100 bilion menerusi kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2020. 

 

Bagaimanapun, pada penghujung 2020, ketibaan pelancong merosot sebanyak 83.4% sepanjang tahun kepada 4.33 bilion berbanding tahun sebelumnya ekoran pandemik COVID-19. 

 

Perbelanjaan pelancong pula susut kepada RM12.7 bilion manakala perbelanjaan per kapita turun sebanyak 11.2% kepada RM2,931.20 sepanjang tahun lalu. - DagangNews.com