Kepentingan seni dan budaya untuk memperkasakan bandar raya | DagangNews Skip to main content

Kepentingan seni dan budaya untuk memperkasakan bandar raya

Oleh PROF EMERITUS MUHAMMAD HAJI SALLEH
SASTERAWAN NEGARA

 

 

BARU-BARU ini suasana Kuala Lumpur kembali meriah dengan aktiviti seni dan budaya melalui Art In The City (AITC) tahun ini yang dianjurkan CENDANA.

 

Kita sedar, dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 pada tahun ini, ramai golongan seniman ini terjejas.

 

Program AITC ini bertepatan waktu untuk membantu mengembalikan semangat dan jati diri petugas serta penggiat seni negara bagi menyegarkan lagi kelestarian seni dan budaya negara walaupun harus mengadaptasi diri mereka dengan norma baharu.

 

Kita merayakan Tahun Ekonomi Kreatif Antarabangsa untuk Pembangunan Lestari pada tahun ini, AITC 2021, yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2021 dengan pelbagai aktiviti yang mempromosi seni, kreativiti dan imaginasi rakyat Malaysia.

 

Dirancangkan lebih 100 program yang dinamik, yang dilaksanakan pada tahun ini, dengan pelbagai warna dan harapan. 

 

Pertama kali AITC ini dilaksanakan pada 2018, dan mementaskan pelbagai persembahan muzik, tarian, kraf, teater, tarian filem, makanan, warisan dan sejarah.

 

AITC juga memberi ruang kepada ikon seni budaya antarabangsa beraksi secara maya di forum KUL.CEF pada 14 Oktober, yang telah menampilkan panel tempatan dan antarabangsa tersohor, yang berkongsi pandangan mengenai amalan terbaik dalam pelbagai aspek seni dan budaya.

 

Semua ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai seni budaya tempatan.

 

Saya yakin bahawa seni dan budaya kita boleh menjadi sumber kebanggaan  dan  unsur yang menyatukan semua lapisan masyarakat.

 

Sewaktu kita memberi perhatian kepada industri seni dan budaya untuk pulihkan kembali, kita akan terus melindungi sumber mata pencarian penggiat industri, mengekalkan dan menghidupkan kembali kemampuan dan bakat - dan dengan penuh tekad, beralih ke platform baru dengan khalayak  yang lebih luas, iaitu melalui digitalisasi.

 

Semoga Program Art In The City 2021 ini dapat memberi sinar baharu kepada masyarakat dan menyemarakkan lagi industri seni dan budaya di Malaysia.

 

Budaya, tradisi dan bahasa kita adalah asas jatidiri kita. Dalam mengejar arus pembangunan, jangan sesekali kita membiarkan asas ini binasa.

 

Seni dan Budaya adalah warisan berharga bagi negara. Melalui khazanah ini, kita akan dapat menyerlahkan lagi wajah cerah bangsa yang lahir dari naluri dan usaha. Tanpa wajah  ini dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai-nilai masyarakat kita juga pasti akan luput bersama bangsanya.

 

Semoga inisiatif berterusan agensi CENDANA akan menonjolkan seni untuk generasi akan datang, agar setiap lapisan masyarakat dapat terus mengahayati dan menjiwai kedua-dua elemen ini.

 

Pantun gurindam pusaka bangsa,

Seloka dan madah hiasan kata,

Mewangi warisan khazanah bahasa,

Seni dan budaya negara tercinta.


 

Seni dan budaya kekal lestari,

Menjadi kebanggaan setiap generasi,

Warisan pertiwi teguh berdiri,

Menjadi pegangan cetusan inspirasi.

 

_________________________________________________________

 

Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA)
Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh adalah Sasterawan Negara dan juga Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA)