Keputusan 4QFY22 Dancomech diunjur lebih baik didorong kemajuan tiga segmen perniagaan, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Keputusan 4QFY22 Dancomech diunjur lebih baik didorong kemajuan tiga segmen perniagaan, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - CGS-CIMB Berhad mengunjurkan Dancomech Holdings Berhad catat keputusan kewangan yang lebih baik dari suku tahun ke suku tahun pada 4QFY22.

 

Firma itu berkata, unjuran adalah berdasarkan kemajuan dalam tiga segmen perniagaan iaitu bahagian acuan logam, perdagangan dan kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E).

 

Katanya, kumpulan itu telah melonjakkan kapasiti pengeluaran segmen itu antara 15 hingga 20% pada penghujung 3QFY22.

 

"Bagi segmen perdagangan dan kejuruteraan E&E, kumpulan itu seharusnya mendapat manfaat daripada aktiviti pembinaan yang lebih tinggi dan faktor bermusim (kebiasaannya suku keempat adalah lebih kukuh untuk kedua-dua bahagian)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 31.3% kepada RM4.8 juta dan menjadikan keuntungan teras bersih bagi tempoh 9MFY22 kepada RM11.3 juta iaitu selaras dengan unjuran firma itu sebanyak 65.7% bagi unjuran tahun penuh.

 

Firma itu berkata, margin untung kasar kumpulan itu bagi 3QFY22 menurun sebanyak 0.4% kepada 19.6% namun untung teras bersih meningkat 29.2% kepada RM4.8 juta.

 

Katanya, secara kumulatif, hasil bagi 9MFY22 dan untung teras bersih masing-masing meningkat 7% dan 2.2%. 

 

"Prestasi 9MFY22 yang lebih kukuh ini disebabkan oleh sumbangan daripada bahagian perdagangan, kejuruteraan E&E dan acuan logam yang mengimbangi sumbangan sifar daripada segmen sistem pengendalian bahan (MHS)," katanya.

 

Firma itu, mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 50 sen sesaham. - DagangNews.com