Keputusan BNM kekal OPR pada paras 3 peratus bantu menstabilkan pasaran perumahan - IQI | DagangNews Skip to main content

Keputusan BNM kekal OPR pada paras 3 peratus bantu menstabilkan pasaran perumahan - IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3 peratus akan membantu menstabilkan pasaran perumahan.

 

Pengasas Bersama IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, keputusan BNM itu adalah bagi mengimbangi keinginan merangsang pertumbuhan ekonomi mengawal keadaan inflasi negara.

 

Beliau berkata, pengguna sudah terbiasa dengan tahap kadar faedah semasa dan masih sanggup meminjam untuk gadai janji.

 

"Pinjaman isi rumah untuk tujuan ini dan tujuan lain meningkat 6% pada Januari 2024, menunjukkan bahawa pengguna selesa dengan kedudukan kewangan dan prospek masa depan mereka.

 

"Tinjauan pasaran kami menunjukkan harga kediaman dan sewa boleh meningkat hampir 10% pada 2024. Julat harga paling popular tahun ini ialah rumah mampu milik bernilai sehingga RM500,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3 peratus

 

Kashif berkata, inflasi merupakan kebimbangan besar buat BNM dan mereka mupakan antara Bank Pusat pertama di dunia yang mula menaikkan kadar dalam kitaran semasa bagi menurunkan kadar inflasi ke paras semasa.

 

iqi
Kashif Ansari

 

Bagaimanpun katanya, kejatuhan nilai ringgit bermakna semua barangan import semakin mahal dan BNM juga bersedia untuk menjual dolar Amerika Syarikat (AS) daripada rizabnya bagi mengekalkan nilai ringgit daripada terus mengalami kejatuhan.

 

"Terdapat faktor lain yang boleh mengekalkan inflasi tetap tinggi termasuk kenaikan 2% dalam cukai perkhidmatan, penarikan beberapa subsidi makanan dan tenaga serta cukai barangan bernilai tinggi.

 

"Inflasi keseluruhan adalah 1.5% pada Januari 2024 dan kerajaan menjangkakan purata inflasi berada antara 2.1% hingga 3.6% pada tahun ini," katanya.

 

Beliau berkata, pujian harus diberikan kepada BNM dan kerajaan kerana berjaya menyekat inflasi sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi.

 

"Pada 2024, kami menjangkakan ekonomi Malaysia akan pulih semula berikutan kekuatan permintaan dalam dan luar negeri. Kami percaya pertumbuhan di China akan meningkat apabila langkah rangsangan kerajaan mula memberi kesan," katanya.- DagangNews.com