Keputusan kewangan Bumi Armada pada suku pertama 2024 atasi unjuran RHB Investment dipacu sumbangan kukuh Armada Olombendo | DagangNews Skip to main content

Keputusan kewangan Bumi Armada pada suku pertama 2024 atasi unjuran RHB Investment dipacu sumbangan kukuh Armada Olombendo

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Keputusan kewangan suku pertama 2024 Bumi Armada Bhd mengatasi anggaran RHB Investment dipacu sumbangan lebih kukuh daripada unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Olombendo. 

 

Katanya, ia berikutan kenaikan yuran operasi harian dan pengurusan memberi petunjuk bahawa mereka akan menerima hasil tambahan sebanyak RM7 juta daripada Armada Olombendo pada setiap suku tahun sehingga tamat tempoh kontrak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang berbincang dengan pelanggan berhubung kemungkinan lanjutan piagam, tetapi Enquest telah memberi panduan bahawa kadar pajakan akan dikurangkan sebanyak 70% mulai 1 April 2025.

 

Pada masa sama, Armada Kraken telah bebas hutang sejak 2023 dan kumpulan tu juga membayar balik pinjaman sebanyak AS$26 juta pada suku pertama bagi menurunkan penggearan bersihnya kepada 0.56x  berbanding 0.65x pada suku keempat tahun lalu.

 

"Kumpulan itu telah menerima surat komitmen daripada pembiaya untuk pembiayaan baharu sebanyak AS$400 juta dan menjangkakan akan menyelesaikannya dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bumi Armada catat peningkatan untung bersih sebanyak 19.7% kepada RM240.5 juta pada 1QFY24

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras kumpulan pada suku pertama sebanyak RM250 juta adalah lebih baik disebabkan rangsangan tambahan selepas memuktamadkan yuran operasi harian dengan penyewa.

 

Katanya, prestasi dari suku tahun ke suku tahun yang lebih lemah didorong oleh ketiadaan sumbangan keuntungan bersih sekali sahaja daripada Armada Kraken, berikutan penyelesaian isu tertunggak dengan penyewa.

 

"Bagaimanapun, keadaan itu diimbangi sumbangan lebih tinggi daripada Armada Olombendo berikutan kenaikan yuran operasi harian dan pendapatan teras kumpulan meningkat 22%.

 

"Kami menyemak naik pendapatan FY24 sebanyak 5% selepas mengambil kira peningkatan tambahan daripada Armada Olombendo," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 68 sen sesaham.- DagangNews.com