Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR 30 Sept – Kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan tegas semata-mata untuk melindungi rakyat Malaysia daripada COVID-19, dan kini mula menampakkan kejayaan.
Muhyiddin yang kini mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara berkata, kerajaan pimpinan beliau telah bertindak tegas untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan memelihara ekonomi daripada terjejas lebih teruk.
‘’Kita mengambil langkah drastik menutup sempadan negara dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang belum pernah dibuat sebelum ini.
‘’Sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai lebih RM530 bilion turut diumumkan untuk rakyat, memberikan bantuan tepat pada masanya dan sangat diperlukan.
‘’Dengan ketahanan, kesabaran, dan semangat kebersamaan Malaysia Prihatin, Kerajaan dengan sokongan petugas barisan hadapan dan segenap lapisan rakyat hasilnya pada hari ini, kita mula melihat cahaya di hujung terowong,’’ katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam ucapan membahas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.
‘’Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1% sudah lengkap divaksinasi manakala21,993,709 individu atau 94% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, RMKe-12 ini dibentangkan dalam suasana negara ini masih melalui fasa kritikal pemulihan negara setelah hampir dua tahun dirundung pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pandemik ini melanda seluruh dunia dalam keadaan yang tidak pernah diduga, unprecedented, yang telah merekodkan sejumlah 189 juta kes dan meragut lebih 4 juta nyawa.
‘’Malaysia juga terjejas apabila sehingga kini lebih 2 juta kes positif disahkan, dengan lebih 25,000 kematian.
‘’Kenyataan ini agak pahit untuk kita telan. Mereka yang terkorban akibat virus ganas itu ada antaranya adalah ibu, bapa, anak, saudara lelaki dan perempuan, sahabat dan kenalan rapat kita,’’ ujar beliau.
Dalam proses memulihkan ekonomi kata Muhyiddin, RMKe-12 sudah pastinya diharap akan menjadi ‘real shift’ untuk mengangkat aspirasi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dalam Semangat Keluarga Malaysia.
‘’RMK-12 akan menjadi `kick-start’ untuk mengembalikan era kemakmuran yang pernah kita nikmati bersama, malah mungkin lebih baik lagi, di mana kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kelestarian pembangunan diberi keutamaan dan transformasi struktur ekonomi diperkukuhkan,’’ katanya.
Kesimpulannya ujar beliau, RMK-12 adalah rancangan jangka sederhana untuk Malaysia mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia yang tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya.
‘’Untuk mencapai objektif itu, peranan MPN menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan, adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya-upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing.
‘’Sekarang adalah masanya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Bersatulah atas nama anak Malaysia dengan semangat wira seumpama berperang melawan musuh durjana.
‘’Kita sudah hampir menang melawan musuh halimunan, COVID-19, sasaran kita kini adalah untuk mendokong usaha Kerajaan memulihkan negara yang kita cintai ini dan membawa Malaysia kembali ke puncak kegemilangan dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
‘’Saya harap dalam masa 5 tahun ini, kita berusaha melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-12 dengan gigih, secara kolektif bagi merealisasikan impian Malaysia menjadi Negara Berpendapatan Tinggi yang Makmur, Inklusif dan Mampan. Insya-Allah,’’ kata beliau. – DagangNews.com