Kerajaan akan teruskan Jelajah AKM jika diberi mandat dalam PRU15 - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan akan teruskan Jelajah AKM jika diberi mandat dalam PRU15 - PM

Jelajah AKM di Pahang yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November ini.

KUANTAN 29 Okt - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) akan diteruskan sekiranya kerajaan diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, program tersebut dihentikan sementara, bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

 

“Ini mungkin destinasi terakhir sebelum PRU15, insya-Allah jika diberi peluang teraju kerajaan ini sekali lagi, program ini yang terhenti sebentar ini akan disambung semula selepas PRU15,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuantan, Pahang, pagi ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan selaku Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

 

Jelajah AKM di Pahang yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU15 yang akan berlangsung
pada 19 November ini.

 

Program itu bermula pada 3 Mac 2022 di Johor diikuti Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, Kelantan, Sarawak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Jelajah AKM memudahkan rakyat di setiap negeri mendapatkan maklumat terus mengenai bantuan dan perancangan yang ditawarkan kerajaan, dan program ini sangat penting dalam menguar-uarkan manifestasi dan pelaksanaan usaha berterusan kerajaan, dalam membantu meringankan beban rakyat secara turun padang ke seluruh negara.

 

Jualan murah sempena Jelajah AKM, sentiasa mendapat sambutan di semua negeri terlibat selain terdapat pelbagai pameran dan gerai jualan daripada peniaga kecil termasuk peniaga industri kecil sederhana (IKS), yang turut diberikan peluang menjual barangan mereka.

 

Sementara itu, Ismail Sabri yang turut memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ sejak mula menggalas jawatan perdana menteri yakin, keluarga yang sentiasa diikat dengan kasih sayang akan andal menghadapi apa juga cabaran.

 

"Dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, bukan sahaja negara dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati setiap lapisan masyarakat. Sesungguhnya, tiada yang lebih penting selain menjaga keluarga,” katanya. - DagangNews.com