Kerajaan baharu Argentina harap projek LNG bersama Petronas diteruskan | DagangNews Skip to main content

Kerajaan baharu Argentina harap projek LNG bersama Petronas diteruskan

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bernilai berbilion dolar bersama syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas akan diteruskan.

 

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan agar pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

 

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pengurusan Petronas pada 18 Mac 2024 bagi membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

 

Pada 1 September 2022, Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, bagi meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu dan kawasan lain, termasuk minyak huluan, petrokimia dan rumusan tenaga bersih.

 

Sebagai tambahan kepada MOU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina SA, melaksanakan kajian bersama dan perjanjian pembangunan ke arah potensi pembangunan projek LNG Bersepadu Argentina.

 

mondino
 Diana Mondino - Gambar/Bernama

 

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

 

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

 

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

 

Mondino berkata, Argentina boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

 

"Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan, bukan di tahap yang sepatutnya.

 

"Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. 

 

"Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

 

Pada 13 Mac 2024, YPF dan Petronas dilaporkan telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu. - DagangNews.com