KUALA LUMPUR 11 Okt – MIDF Research percaya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 akan menyediakan rangsangan untuk pemulihan pasaran buruh dan pertumbuhan ekonomi domestik sebagai keutamaan dalam Belanjawan 2023 akan datang.
“Walaupun PRU15 dijangka berlangsung pada 22 Nov, kami melihat pilihan raya itu akan mengurangkan ketidaktentuan politik domestik dan sudah tentu kerajaan baharu akan membentangkan dasar fiskal mengembang untuk 2023.
“Prospek cerah pasaran buruh walaupun pasaran tidak menentu,” kata firma penyelidikan itu dalam nota di sini hari ini.
Menurut MIDF Research lagi, pemulihan pasaran buruh Malaysia berterusan apabila kadar pengangguran kekal rendah seperti semasa wabak COVID-19 iaitu 3.7% pada Ogos 2022.
Tenaga buruh dan guna tenaga terus berkembang, masing-masing +3.1%yoy (tahun atas tahun) dan +4.2%yoy, hasil daripada pertumbuhan ekonomi domestik yang teguh dan bahagian luar yang memberangsangkan.
Pengangguran menurun lagi sebanyak -18.3%yoy, menandakan kadar penguncupan dua belas bulan berturut-turut.
BACA: Jumlah penganggur terus menurun dengan kadar pengangguran kekal 3.7% pada Ogos - DoSM
“Kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran kami pada 3.8% untuk 2022.
“Pasaran buruh di Malaysia dijangka terus mengukuh pada 2HCY22 disokong oleh momentum yang memberangsangkan dalam ekonomi domestik dan pengembangan yang stabil dalam sektor luar.
“Didorong oleh pembukaan semula domestik dan asas ekonomi yang kukuh, kadar pengangguran Malaysia diunjurkan menurun pada tahun ini kepada 3.8% pada 2022 (2021: 4.5%),” kata MIDF Research. – DagangNews.com