Kerajaan bayar RM936.12 juta tuntutan skim MySalam - MOF | DagangNews Skip to main content

Kerajaan bayar RM936.12 juta tuntutan skim MySalam - MOF

KUALA LUMPUR 25 Julai - Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan telah membayar RM936.12 juta bagi tuntutan di bawah skim pelindungan percuma, MySalam dari 2019 hingga Disember 2023.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata jumlah tuntutan itu membabitkan 1.27 juta penerima termasuk individu B40 dan pasangan mereka berumur 18 hingga 65 tahun yang merupakan penerima bantuan tunai kerajaan, kini dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

 

Beliau berkata pembayaran itu melibatkan tuntutan manfaat kemasukan hospital, rawatan penyakit kritikal, pesakit dalam siasatan, Covid-19, serta tuntutan kos peranti perubatan.

 

Sementara itu, beliau berkata tahun 2022 mencatatkan bayaran tuntutan tertinggi sebanyak RM382 juta, memanfaatkan 650,000 penerima, diikuti 2021 dengan tuntutan RM246.72 juta bagi 365,000 penerima. 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan.

 

Menurut Lim, dianggarkan lebih 10.92 juta rakyat Malaysia terdiri daripada kumpulan B40 layak menerima manfaat daripada skim MySalam tahun ini.

 

"Selangor mencatatkan jumlah penerima layak tertinggi iaitu 1.48 juta, diikuti Johor 1.34 juta dan Sarawak 1.13 juta, manakala jumlah penerima layak Kelantan adalah 825,000," ulasnya.

 

Sementara itu, Lim berkata purata bilangan pembayar cukai yang menuntut potongan cukai bagi premium insurans nyawa dari 2019 hingga 2023 adalah 2.14 juta.

 

Beliau berkata jumlah potongan cukai itu akan menjimatkan pembayar sebanyak RM635 juta setahun.

 

Selain itu, purata bilangan pembayar cukai yang menuntut potongan cukai bagi premium insurans pendidikan dan perubatan bagi pada tempoh yang sama adalah 2 juta setahun. 

 

Menurut beliau, potongan itu menjimatkan pembayar cukai sebanyak RM611 juta setahun.

 

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai individu yang menikmati pelepasan cukai perubatan dan insurans nyawa.- DagangNews.com