Kerajaan digesa lakukan lebih banyak kajian sebelum laksanakan GEG | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa lakukan lebih banyak kajian sebelum laksanakan GEG

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Feb – Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) menggesa Kerajaan supaya menjalankan lebih banyak kajian mengenai cadangan Penamat Generasi atau Generational Endgame (GEG) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

 

Presiden ACATA, Dr Arifin Fii berkata, walaupun ACATA gembira Kerajaan mengambil langkah untuk mengawal selia vape, dasar larangan seperti GEG terhadap produk pengurangan bahaya seperti vape, akan menjadi tidak produktif.

 

Katanya, terdapat bukti yang kukuh dan boleh dipercayai untuk membuktikan bahawa produk vape kurang berbahaya daripada menghisap rokok. Bukti juga menunjukkan bahawa vape berkesan dalam membantu perokok berhenti menghisap rokok.

 

Malah ujar beliau, kajian telah menunjukkan bahawa peratusan tidak pernah merokok yang menggunakan vape adalah sangat kecil.

 

 

Dr Arifin Fii
                                  Dr Arifin Fii

 

 

“Ini benar terutamanya di Malaysia. Kajian tempatan pada 2020 mendapati bahawa hanya 0.6% daripada bukan perokok menggunakan vape, menafikan fakta bahawa vape menarik minat pengguna baharu.

 

“Oleh itu, adalah penting untuk Kerajaan menjalankan lebih banyak kajian tentang kesan dasar serta bukti mengenai vape sebelum membuat sebarang keputusan mengenai GEG,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dr Arifin mengulas sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan GEG termasuk menaikkan cukai cecair vape semasa pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Jumaat

 

Sementara itu, pertubuhan Advokasi Industri Vape Malaysia (MVIA) Larangan penjualan vape ini akan memberikan kesan kepada industri tempatan termasuk pengilang, peruncit dan pengguna.

 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, kerajaan seharusnya mengambil kira potensi industri vape di Malaysia dan juga kesan kepada industri tempatan dengan polisi ini.

 

Katanya, industri telah berjuang sejak sekian lama agar satu undang-undang serta peraturan yang bersesuaian untuk mengawal industri vape diperkenalkan. Oleh itu, MVIA memohon Kerajaan untuk mengkaji semula GEG sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Pada masa yang sama, MVIA juga memohon agar Kerajaan melibatkan pemain industri dalam perbincangan berkenaan cukai yang bakal dikenakan ke atas produk vape dan cecair bernikotin.


 

MVIA, Rizani Zakaria
               Rizani Zakaria

 

 

MVIA memohon Kerajaan mempertimbangkan kadar cukai vape dan cecair bernikotin bersesuaian dan tidak terlalu tinggi supaya tidak membebankan industri dan harga produk tidak menjadi terlampau mahal. 

 

“Dengan peraturan yang betul, MRECA berpendapat bahawa dasar GEG tidak perlu kerana ia akan memberi kesan kepada pemain industri tempatan.

 

“Kami juga percaya bahawa lebih banyak kajian dan perbincangan diperlukan untuk menilai kesan GEG." - DagangNews.com