Kerajaan gerakan aset, beri bantuan ke kawasan terjejas akibat banjir - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan gerakan aset, beri bantuan ke kawasan terjejas akibat banjir - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah mengarahkan semua kementerian yang terlibat untuk menggerakkan semua aset ke kawasan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak beberapa hari ini.

 

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

 

Perdana Menteri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan bagi mendapatkan maklumat berkaitan mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan serta bantuan. 

 

"Pada Jumaat, NADMA telah memberi taklimat mengenai keadaan banjir yang melanda beberapa negeri ekoran hujan lebat secara berterusan. 

 

"Saya telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi mereka dan agensi-agensi terlibat. 

 

"Saya juga sudah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara untuk menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi-agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara," katanya di laman Facebook rasminya, hari ini. 

 

Perdana Menteri meminta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa selain menjaga keselamatan diri serta keluarga.

 

"Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan," katanya. - DagangNews.com