KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kerajaan akan memberi jaminan ke atas pembiayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi syarikat utiliti negara itu dalam menjana bekalan elektrik tidak terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan membayar jumlah RM5.8 bilion tersebut kepada TNB bagi memastikan TNB tidak terkesan daripada kenaikan mendadak harga bahan api untuk penjanaan elektrik selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).
"Kenaikan kos penjanaan elektrik juga meningkatkan keperluan modal kerja TNB," kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan kepada kenaikan mendadak harga bahan api dunia pada tahun ini, Kerajaan pada 24 Jun 2022 telah memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 pada kadar yang sama dengan separuh tahun pertama 2022, walaupun kos penjanaan elektrik telah meningkat.
Pada awal tahun 2021, harga arang batu adalah sekitar AS$80 se tan metrik, namun pada pertengahan tahun 2022, ia telah mencecah AS$400 se tan metrik.
"Sehubungan itu, Kerajaan akan menanggung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi memanfaatkan kesemua ahli Keluarga Malaysia daripada impak kenaikan kos elektrik," kata Kementerian Kewangan. - DagangNews.com