Kerajaan lulus RM5 juta bagi kerja naik taraf ban Spang Loi untuk atasi isu banjir - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lulus RM5 juta bagi kerja naik taraf ban Spang Loi untuk atasi isu banjir - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, Segamat, Johor yang menempatkan 117 mangsa daripada 26 keluarga, hari ini.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf ban di Kampung Spang Loi, Segamat bagi menangani isu banjir di kawasan sekitarnya.

 

Beliau berkata, ban itu perlu segara dinaik taraf bagi mengelak kejadian banjir di daerah ini pada masa akan datang.

 

"Saya telah diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memerlukan peruntukan untuk membina ban baharu bagi mengelakkan banjir pada masa depan.  

 

"Keperluannya adalah segera, jadi hari ini saya luluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina ban baharu.

 

"JPS juga diminta supaya menyediakan pelan jangka panjang untuk mengelakkan banjir di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pembinaan ban di Kampung Spang Loi itu melibatkan kerja menaik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer dan meninggikan aras ban daripada 5.2 meter kepada 6.2 meter bagi menampung air banjir yang meningkat berbanding semasa direka bentuk sebelum ini.

 

Pada Ahad lepas, ban yang siap dibina pada 2019 itu, pecah sehingga menyebabkan  banjir di Kampung Spang Loi dan kampung-kampung sekitar ekoran limpahan air Sungai Muar.

 

pm

 

Ismail Sabri turut mengadakan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, Segamat, Johor yang menempatkan 117 mangsa daripada 26 keluarga yang terkesan akibat banjir sejak Ahad lalu. 

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, Segamat adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir dan sebanyak 52 PPS telah dibuka di daerah ini yang menempatkan 1,093 keluarga serta 4,016 mangsa. 

 

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan bantuan wang tunai sebanyak RM1,500 kepada 26 ketua isi rumah yang terlibat merangkumi Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Kerajaan Negeri Johor.

 

"BWI harus disalurkan segera, kalau boleh sebelum mangsa pulang ke rumah masing-masing dan saya mendoakan seluruh Keluarga Malaysia sentiasa dilindungi Allah SWT daripada segala bencana," katanya. - DagangNews.com