Kerajaan Malaysia, 1MDB saman 44 rakan kongsi KPMG RM23.62 bilion | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Malaysia, 1MDB saman 44 rakan kongsi KPMG RM23.62 bilion

DIKEMASKINIKAN 7.28 malam 9 Julai

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), antara lain telah memfailkan saman ke atas 44 rakan kongsi KPMG Malaysia bernilai sekitar RM23.62 bilion atau AS$5.64 bilion, semasa firma itu menjadi juruaudit 1MDB.

 

Turut memfailkan saman itu adalah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan beberapa anak syarikat lain atas tuduhan KPMG melanggar kontrak dan cuai dalam proses audit dan perakuan ke atas penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan 31 Mac, 2010 (FY10), FY11 dan FY12.

 

Sebagai rekod, pada bulan lalu, KPMG turut ‘dilayangkan’ tindakan saman oleh Serba Dinamik Holdings Berhad atas dakwaan telah cuai dalam mengaudit penyata kewangan syarikat minyak dan gas itu sehingga menanggung kerugian hampir RM5 bilion dari segi permodalan pasarannya.

 

Baca : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai

 

Plaintif lain terdiri daripada 1MDB Energy Holdings Ltd (1MEHL), 1MDB Energy Ltd (1MEL), 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL), dan Global Diversified Investment Company Ltd, sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Company Ltd.

 

Mereka diwakili oleh Tetuan Shearn Delamore, sekali gus menjadi pemfailan saman kedua yang dikemukakan oleh firma guaman itu. 

 

Dalam satu pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Shearn Delamore, pihak plaintif mendakwa kira-kira RM23.62 bilion telah disalah guna oleh 1MDB dan anak syarikat yang berkaitan untuk kepentingan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sekutu atau penamanya.

 

Wang yang digelapkan itu didakwa berlaku antara tahun 2009 hingga 2014, menurut theedgemarkets.com yang telah membaca pernyataan tuntutan itu.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak kira-kira RM13.39 bilion atau AS$3.197 bilion didakwa telah digelapkan dalam tempoh tiga tahun kewangan semasa KPMG menjadi pengaudit 1MDB iaitu pada FY10, FY11 dan FY12. 

 

Untuk rekod, KPMG telah dipecat sebagai pengaudit 1MDB selepas firma itu enggan menandatangani akaun FY13.

 

Pada awalnya, Ernst & Young (E&Y) didakwa dilantik sebagai pengaudit akaun 1MDB sebelum KPMG, namun gagal untuk melakukan demikian kerana kekurangan bukti audit yang cukup berhubung nilai saksama dan kebolehpulihan pelaburan 1MDB dalam usaha sama (JV) awal yang diwujudkannya. 

 

1MDB didakwa telah memeterai JV dengan PetroSaudi International selepas memperoleh sejumlah RM5 bilion Nota Islam Jangka Sederhana (IMTN). 

 

Wang sepatutnya disalurkan kepada syarikat JV berkenaan iaitu 1MDB PetroSaudi, namun sekitar RM2931.25 juta atau AS$700 juta didakwa telah disalahgunakan untuk Good Star Ltd, iaitu sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Low Taek Jho.

 

Menurut laporan itu lagi, pada September 2010, Najib telah mengarahkan supaya E&Y disingkirkan sebagai pengaudit berkanun 1MDB, dan seterusnya KPMG pula dilantik. 

 

Berbalik kepada saman yang difailkan kepada KPMG, plaintif mendakwa bahawa tidak ada satu pun transaksi penipuan dan penyelewengan yang dilakukan di bawah arahan Najib serta dilaksanakan oleh pengurusan ketika itu dibangkitkan oleh KPMG semasa menjadi pengaudit 1MDB.

 

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut RM23.62 bilion dari KPMG, hasil dana yang disalahgunakan sebanyak AS$1.83 bilion (sekitar RM7.66 billion) dari PetroSaudi JV, AS$1.367 bilion (sekitar RM5.72 bilion) dari 1MDB kepada Aabar British Virgin Islands (BVI) untuk deposit keselamatan.

 

Selain itu, nilai saman berkenaan turut melibatkan jumlah penyelewengan sebanyak AS$1.59 bilion (sekitar RM6.66 bilion) dari hasil bon 1MDB Global Investment Ltd kepada Dana Pelaburan Luar Negara, penyelewengan AS$856,317 juta (sekitar RM3,585.83 juta) dari hasil dua sindiket pinjaman berterma yang diperoleh oleh 1MEHL kepada Aabar BVI dan Aabar Seychelles.

 

Pada bulan Mei lalu, 1MDB juga telah memfaikan sebanyak 22 saman sivil kepada pelbagai pihak. 

 

Dalam kenyataan ringkas pukul 7.28 malam ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, ia telah menerima banyak pertanyaan media mengenai tindakan undang-undang yang difailkan terhadap firma perakaunan Malaysia KPMG PLT.

 

"MOF dengan ini mengesahkan bahawa Writ dan Pernyataan Tuntutan telah difailkan terhadap 44 rakan-rakan kongsi KPMG pada 6 Julai 2021.

 

"Kerajaan Malaysia, Menteri Kewangan Inc, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikat 1MDB merupakan Plaintif di dalam perkara ini. Tuntutan tersebut berkaitan dengan kerja-kerja audit 1MDB oleh KPMG bagi tahun 2010 hingga 2012," kata kementerian.

 

Oleh kerana kes ini sudahpun difailkan di Mahkamah, MOF tidak dapat memberikan komen lebih lanjut bagi mengakuri peraturan sub judice. - DagangNews.com