Industri pembinaan kapal negara walaupun tidak semaju Korea Selatan atau Turkiye, tapi masih mempunyai kekuatan tersendiri terutamanya dalam bidang pembaikan dan penyelenggaraan.
Terdapat juga beberapa limbungan yang mampu membina kapal dan bot bagi pelbagai kegunaan, malah mendapat perhatian daripada pelanggan luar negara.
Ini dibuktikan syarikat tempatan iaitu KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. dengan kerjasama Northern Shipyard Sdn. Bhd. di Langkawi menyiapkan pembinaan 2 kapal peronda pesisir pantai untuk Tentera Laut Nigeria.
Kapal 38M Sea Eagle ini menggunakan kepakaran 85 anak tempatan termasuk 5 orang tenaga kerja wanita.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan industri tempatan yang mampu menghasilkan kapal berkenaan dalam tempoh 2 tahun.
Kapal sepanjang 38 meter ini dikendalikan 21 kru bagi kegunaan penguatkuasaan di laut.
Setelah siap dua kapal ini akan diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria.
Selepas menyiapkan kapal tersebut, difahamkan syarikat ini akan membina baki 3 buah lagi bot yang dijangka diserahkan awal 2026.
Pada Februari 2020, KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. dipilih membina 4 bot peronda pantas Manta MK II untuk Tentera Laut Nigeria membabitkan kontrak bernilai RM32 juta.
Manta Mk II ialah bot peronda pantas yang terdapat dalam banyak model dan telah direka untuk rondaan pantai, pertahanan wilayah, pemintasan marin dan anti penyeludupan.
Bot aluminium ini mempunyai perlindungan balistik, boleh membawa 6 anak kapal dan mempunyai jarak 250 batu nautika pada kelajuan 35 knot.
Ini juga bukanlah syarikat tempatan pertama yang diberikan kontrak membina kapal tentera luar negara.
Sebuah lagi syarikat perkapalan iaitu Sin Yang berpangkalan di Miri, Sarawak pula telah diberi kepercayaan membina 3 kapal pendarat kereta kebal (LST) untuk Tentera Laut Emiriah Arab Bersatu.
Kapal LST kelas Al Quwaisat sepanjang 80 meter dibina berdasarkan reka bentuk syarikat tersebut.
Dua kapal siap dibina pada tahun 2012 manakala sebuah lagi ditempah pada 2020.
LST kelas Al-Quwaisat dengan kru 106 orang mempunyai kapasiti untuk membawa kargo, anggota tentera laut dan kereta kebal.
Kapal-kapal itu juga dilengkapi dengan geladak pendaratan helikopter untuk menyokong operasi udara.
UAE semasa terlibat dengan konflik di Yaman menggunakan kapal-kapal LST ini sepenuhnya bagi menghantar bekalan logistik kepada pasukan tenteranya.
Berbeza dengan kapal peronda Nigeria yang dibina KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. dengan kerjasama Northern Shipyard Sdn. Bhd., pembinaan memerlukan limbungan lebih besar.
Justeru, kemampuan syarikat Sin Yang mendapat kepercayaan negara kaya seperti UAE membina kapal untuk tentera lautnya merupakan satu pencapaian membanggakan.
LST seperti ini juga sepatutnya ada dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setidak-tidaknya dapat menyokong pelbagai jenis operasi termasuk misi kemanusiaan.
Berbanding kapal sokongan logistik (MRSS) yang diidamkan TLDM, kos memiliki kapal LST lebih murah jika benar-benar ia adalah keperluan yang mendesak.
Kapal jenis ini juga boleh dipertimbangkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebagai kapal induk.
Melihat pada apa yang dipamerkan kedua-dua syarikat, sebenarnya kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mencari syarikat yang boleh menyiapkan aset untuk tentera atau pasukan keselamatan.
Setidak-tidaknya untuk aset seperti bot atau kapal peronda di bawah saiz panjang 80 meter, pilih syarikat tempatan telah mempamerkan kebolehan.
Telah tiba masanya kerajaan meletakkan kepercayaan terhadap kemampuan syarikat kecil tempatan dalam membangunkan aset pertahanan negara sepertimana Indonesia, Thailand dan Singapura. - DagangNews.com