Kerajaan setuju lupus bersyarat RM8.3 bilion hutang peneroka Felda | DagangNews Skip to main content

Kerajaan setuju lupus bersyarat RM8.3 bilion hutang peneroka Felda

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya hari ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan bersetuju dengan cadangan pihak Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persetujuan pelupusan itu khususnya melibatkan generasi awal yang telah berkorban keringat dan air mata untuk membolehkan program rancangan pembangunan tanah dijayakan.

 

Pelupusan bersyarat antaranya merangkumi;

  1. Pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8.0 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka (iaitu meliputi 82% dari keseluruhan 112,638 warga peneroka)
  2. Pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, melibatkan 52,180 peneroka (iaitu meliputi 46% warga peneroka)
  3. Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka (iaitu meliputi 34% warga peneroka)
  4. Pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 6,711 orang peneroka (iaitu kira-kira 6% warga peneroka).

 

 

Muhyiddin menambah, melalui inisiatif berkenaan, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80% bagi setiap peneroka.

 

"Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800-RM1000, kepada hanya RM250-RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

 

"Saya berharap dengan usaha yang diambil oleh kerajaan ini, ia akan menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan mereka," katanya dalam ucapan pelancaran Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang dijalankan secara maya hari ini.

 

.

 

Dalam ucapan sama, beliau memberitahu, inisiatif tersebut juga secara tidak langsung mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman peneroka dengan lebih berhemat dan tidak lagi terbeban pada masa depan.

 

Dalam pada itu, beliau turut berharap warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma yang dipersetujui menerusi perjanjian baharu yang akan ditandatangani oleh peneroka dengan Felda di bawah inisiatif pelarasan pinjaman bersyarat tersebut.

 

Muhyiddin turut memberi harapan untuk melihat nama Felda terpampang dalam senarai syarikat global paling berjaya seperti dalam senarai Fortune Global 500.

 

Meskipun perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau yakin ia tidak mustahil untuk dicapai dengan strategi serampang tiga mata iaitu 'Restart, Revitalise dan Reform'. - DagangNews.com