Kerjasama dengan MaGIC, Sidec & Sunway iLabs perkasa pertumbuhan syarikat pemula Malaysia - Microsoft | DagangNews Skip to main content

Kerjasama dengan MaGIC, Sidec & Sunway iLabs perkasa pertumbuhan syarikat pemula Malaysia - Microsoft

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Microsoft bakal menyertai program pecutan yang dilancarkan oleh Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Perbadanan Teknologi Maklumat & Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Sunway iLabs sebagai rakan kongsi.

 

Penyertaan tersebut adalah demi menyokong ekosistem syarikat pemula Malaysia sekali gus mempercepatkan pertumbuhan dan inovasi ekosistem syarikat baharu. 

 

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, sokongan yang akan diberikan itu adalah dalam aspek kemahiran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Barangan (IoT) dan Data Raya. 

 

Melalui program berkenaan, peserta akan memanfaatkan sumber dan latihan global yang ditawarkan oleh Microsoft.   

 

“Syarikat-syarikat pemula memainkan peranan penting menyokong pertumbuhan ekonomi negara kita.

 

“Setiap perniagaan yang berjaya sekarang bermula sebagai syarikat pemula sebelum ini. Sebagai sebahagian daripada komitmen Microsoft Bersama Malaysia, kami teruja untuk membantu usahawan-usahawan tempatan kita untuk terus mempelopori inovasi dan mencapai kejayaan.

 

"Kerjasama kami dengan MaGIC, Sidec dan Sunway iLabs akan memberi peluang kepada usahawan Malaysia untuk bersaing di pentas yang saksama, sambil memanfaatkan teknologi awan dan potensinya dalam ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Microsoft juga akan membantu syarikat-syarikat pemula tempatan untuk mempelajari dan membina asas awan yang kukuh dengan Microsoft Azure, sambil menyediakan latihan bagi peralihan data dan pembinaan infrastruktur. 

 

Selain itu, Microsoft akan menawarkan rundingan teknologi 1-dengan-1 bagi seni bina teknologi untuk usahawan terpilih dengan membantu syarikat-syarikat pemula mengguna pakai dan mempercepatkan transformasi awan. 

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor memberitahu, pada dasarnya, DNA MaGIC dibentuk oleh kreativiti dan inovasi – dengan rekod pencapaian terbukti dalam ekosistem syarikat pemula teknologi untuk mempercepatkan agenda dasar inovasi Malaysia.

 

"Menerusi usaha sama dengan Microsoft, kami mempelopori penyelesaian inovatif menjangkaui sempadan negara. 

 

"Sesungguhnya kita perlu menggunakan perspektif mencipta penyelesaian untuk dunia, sambil kami memberi tumpuan kepada pendekatan lebih menyeluruh menerusi Program Pecutan Global (GAP) yang termasuk pelaksanaan teknologi, kelestarian dan kebolehsuaian. 

 

"Matlamatnya ialah untuk memastikan syarikat pemula GPA, tempatan mahupun asing, dapat mengharungi persekitaran ekonomi mencabar atau sebarang krisis lain sambil berusaha mengembangkan sayap ke pasaran global," tambah beliau.

 

Microsoft telah memainkan peranan aktif bekerjasama dengan penggerak ekosistem sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk memperkasakan syarikat-syarikat pemula tempatan dan memupuk ekosistem syarikat pemula tempatan yang kukuh.

 

Peranan tersebut selaras dengan pelan tindakan MyDIGITAL Malaysia yang menetapkan sasaran untuk menggiatkan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula tempatan dan menyokong penubuhan sekurang-kurangnya 5,000 syarikat pemula menjelang 2025. - DagangNews.com