Kerjasama IBFIM, KLN tingkat pakar kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

Kerjasama IBFIM, KLN tingkat pakar kewangan Islam

 

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bekerjasama menganjurkan program Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) bagi melahirkan lebih ramai pakar kewangan Islam.

 

Program itu diadakan mulai hari ini hingga 18 Jun 2021 di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

 

AQIF adalah salah satu program IBFIM yang telah dinilai dan dipilih oleh KLN untuk memberi peluang pembelajaran kepada negara-negara yang berminat untuk mengembangkan kemahiran dan kecekapan bakat mereka dalam industri tersebut.

 

Program AQIF, yang dikendalikan menerusi Kelas Global IBFIM bertujuan menyediakan kerangka pembelajaran sepanjang hayat yang progresif dan tersusun untuk para profesional di dalam industri kewangan Islam.

 

 

Yusry Yusoff
Yusry Yusoff

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mendukung agenda nasional bagi meletakkan Malaysia sebagai pusat pendidikan perbankan dan kewangan Islam di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025

 

Katanya, program itu juga adalah sejajar dengan objektif IBFIM sebagai sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat.

 

"Kami amat berbesar hati diberi mandat oleh KLN bagi menjalankan program AQIF di bawah inisiatif MTCP dan amat mengalu-alukan penyertaan delegasi dari Turkmenistan, Azerbaijan, Filipina dan Brunei Darussalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak dilaksanakan pada 2011, terdapat seramai 3,451 pemegang kelayakan AQIF.

 

Menurut Yusry, adalah amat memberangsangkan melihat jumlah pemegang kelayakan AQIF meningkat setiap tahun di Malaysia dan juga di luar negara. 

 

"Ini adalah salah satu inisiatif IBFIM untuk memastikan ketersediaan aliran bakat yang cekap dan serba boleh bagi menyokong inovasi dan dinamisme industri kewangan Islam yang lebih menyeluruh di peringkat tempatan dan global,” katanya. - DagangNews.com