Kerjasama IQI, LifeCare Diagnostic Medical Centre tawar saringan kesihatan kepada ahli di Lembah Klang | DagangNews Skip to main content

Kerjasama IQI, LifeCare Diagnostic Medical Centre tawar saringan kesihatan kepada ahli di Lembah Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jan - IQI iaitu anak syarikat kepada Juwai IQI dan LifeCare Diagnostic Medical Centre akan menawarkan saringan kesihatan istimewa dan penyelesaian kesihatan kepada semua ahli mereka di Lembah Klang. 

 

LifeCare Diagnostic Medical Centre merupakan pusat perubatan swasta yang menawarkan pelbagai khidmat nasihat kesihatan dan mereka turut memiliki pelbagai perkhidmatan profesional seperti Pemeriksaan Kesihatan, Klinik Pakar dan Pusat Pembedahan Jagaan Harian.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, penularan pandemik telah menjadikan penjagaan kesihatan sebagai keutamaan kumpulan berkenaan.

 

Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan pasukan hartanah profesional mereka dilindungi daripada pandemik itu dan pada masa sama berharap dapat menawarkan perkara sama kepada pasukan kami di seluruh Malaysia.

 

"Keluarga IQI merupakan keutamaan kami dan kami membuat pelaburan besar dalam membangunkan tenaga kerja merangkumi latihan, melengkapkan mereka dengan pengetahun teknologi dan kini kami memberi fokus kepada kesihatan mereka.

 

"Kami mahu memberikan kemudahan kepada pasukan ini, pilihan dan akses yang diperlukan kepada penjagaan kesihatan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan LifeCare Diagnostic Medical Centre, Dr. Ong Kee Liang berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan IQI kerana mereka memilih untuk membuat pelaburan ke dalam penjagaan kesihatan untuk ejen hartanah mereka.

 

"Menerusi jalinan kerjasama ini, ejen hartanah profesional IQI akan mendapat penjagaan kesihatan terbaik pada harga yang lebih berpatutan.

 

"Di LifeCare kami memiliki kepakaran perubatan dalam pelbagai bidang dalam satu premis bagi memudahkan pesakit kami," katanya. - DagangNews.com.