Kerjasama KCI, CapBay ubah kaedah pasaran pemfaktoran | DagangNews Skip to main content

Kerjasama KCI, CapBay ubah kaedah pasaran pemfaktoran

Kenanga

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kenanga Capital Islamic Sdn. Bhd. (KCI) yang merupakan anak syarikat Kenanga Investment Bank Berhad (KIBB) menjalin kerjasama dengan pemenang anugerah syarikat pembiayaan rantaian bekalan digital, Bay Group Holdings Sdn. Bhd. (CapBay) dalam usaha mengubah cara tradisional pasaran pemfaktoran di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan KIBB, Datuk Chay Wai Leong berkata, kerjasama tersebut akan memperkanalkan penyelesaian pertama di Malaysia yang menyatukan Akaun Belum Terima (ABT) kedua-dua sektor iaitu swasta dan awam  di bawah satu platform.

"Kerjasama dengan CapBay ini merekodkan satu lagi kejayaan hasil daripada usaha kami dalam mendigitalkan perniagaan. 

"Kini, usahawan Malaysia bakal menikmati akses yang menyeluruh dan lancar terhadap pembiayaan rantaian bekalan secara digital sekali gus mengubah cara modal kerja diakses di negara ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Chay Wai Leong
Chay Wai Leong

 

CapBay adalah syarikat yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sejak 2016 dan terkenal dengan penyelesaian digital inovatif seperti platform pengurusan rantaian dengan CapBay P2P Financing Platform.

Kerjasama itu juga dapat memanfaatkan pasaran yang kurang penerimaan dengan unjuran peningkatan lima kami ganda daripada RM20 bilion.

Usahawan Malaysia yang memerlukan pembiayaan bagi invoice dan ABT dalam sektor swasta dan awam akan menikmati kemudahan platform digital sepenuhnya untuk tujuan akses aliran tunai.

Selain itu, usahawan juga akan berpeluang memperoleh pembiayaan pantas termasuk pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang dapat memperkasakan keupayaan dalam mengembangkan perniagaan.

Jelas beliau lagi, penyelesaian pembiayaan jangka pendek seperti itu adalah penting kepada ramai usahawan khususnya dalam tempoh sukar akibat COVID-19.

"Kolaborasi bersama CapBay ini juga bertujuan melonjakkan lagi kedudukan KCI dalam pasaran pemfaktoran, mengurangkan kos operasi keseluruhan dan meningkatkan kecekapan," ujarnya. - DagangNews.com